Arab Saudi tolak ekstradisi suspek pembunuh Khashoggi

Astro Awani
Oktober 27, 2018 06:53 MYT
Adel Ahmed Al-Jubeir bercakap pada hari kedua Dialog Manama ke-14, Persidangan Keselamatan di Manama, Bahrain, 27 Okt, 2018. REUTERS
Pihak berkuasa Arab Saudi menolak permohonan pendakwa raya Turki untuk mengekstradisi 18 suspek warganegara itu dalam kes pembunuhan Jamal Khashoggi.
Menteri Luar Adel Ahmed al-Jubeir berkata mereka tetap dengan pendirian mahu menghukum pembunuh wartawan kelahiran Arab Saudi itu di negara sendiri.
"Berhubung isu ekstradisi, kesemua suspek merupakan rakyat Saudi. Mereka akan ditahan, disiasat dan dihukum di Arab Saudi," katanya pada satu persidangan di Manama, ibu negara Bahrain, pada Sabtu.
Kenyataan dibuat sehari selepas Presiden Recep Tayyip Erdogan meminta proses ekstradisi 18 rakyat Saudi untuk dibicarakan di Istanbul.
Kesemua mereka dipercayai terlibat dalam pembunuhan kolumnis The Washington Post berusia 59 tahun itu, di bangunan konsulat Arab Saudi di Istanbul awal bulan ini.
BACA: Polis Turki jumpa 'bukti' Jamal Khashoggi dibunuh
BACA: Imej terakhir Jamal Khashoggi disiar
Sebelum ini, Arab Saudi mendakwa, Khashoggi yang lantang mengritik Putera Mahkota Mohammed Salman, maut dalam satu pergaduhan di bangunan itu 2 Oktober lepas.
Khashoggi hidup dalam buangan di Virginia, Amerika Syarikat, sejak 2017, sejurus selepas Putera Mohammed dilantik sebagai pewaris takhta.
#Adel Ahmed Al-Jubeir #Adel al-Jubeir #Arab Saudi #ekstradisi #Jamal Khashoggi #rakyat #suspek #Turki #wartawan
;