Arab Saudi rekod lebihan belanjawan, lebih AS$27.13 bilion dari unjuran
Fahmi Izuddin
Disember 8, 2022 10:40 MYT
Disember 8, 2022 10:40 MYT
RIYADH: Arab Saudi merekodkan lebihan belanjawan bagi tahun 2022 sebanyak 102 bilion Riyal (AS$27.13 bilion), iaitu 12 bilion lebih tinggi dari angka yang pernah diramalkan.
Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud pada Rabu mempengerusikan sesi Kabinet dan mengumumkan belanjawan am negara itu dengan meluluskan Bajet berjumlah 1.114 trilion Riyal untuk tahun 2023, menjangkakan pendapatan sebanyak 1.13 trilion pada tahun depan.
Selain itu, Putera Mahkota Arab Saudi Putera Mahkota Mohammed bin Salman berkata warganegara Saudi adalah aset terbesar kerajaan pimpinannya.
“Warganegara Saudi adalah aset terbesar kerajaan untuk berjaya, lebih 2.2 juta rakyat Saudi bekerja di sektor swasta, yang merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah,” kata Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang juga Perdana Menteri Kerajaan, pada sesi itu.
Putera Mohammed berkata kerajaan berusaha menyediakan taraf hidup yang baik untuk rakyat, terutama mereka yang berpendapatan rendah dan turut mengarahkan menteri untuk melaksanakan program bajet dan projek sosial.
"Kami akan terus melaksanakan program dan projek yang mempunyai pulangan ekonomi dan sosial, dan meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi untuk tahun akan datang dalam jangka sederhana," kata Putera Mohammed.
Sementara itu, Raja Salman berkata bajet itu mengambil kira pergerakan pembangunan menyeluruh dan mampan yang disaksikan Arab Saudi untuk mengembangkan sektor yang menjanjikan dan meningkatkan peranan rakyat dalam pertumbuhan ekonomi.
Kami akan memastikan wujud kesinambungan pekerjaan daripada hasil sumber dengan memastikan setiap warganegara Arab Saudi dapat mencapai wawasan kerajaan," jelas baginda.
Pada sesi kabinet tersebut, Menteri Kewangan Saudi Mohammed Al Jadaan, memberitahu bahawa kerajaan Arab Saudi adalah satu-satunya negara dalam kumpulan G20 yang ramalan ekonominya meningkat dua kali ganda serta berjaya menurunkan kadar inflasi negara itu.
"harga bahan api tempatan adalah di sebalik penurunan inflasi di kerajaan, dan kami menjangkakan inflasi akan menurun tahun depan kepada 2.1 peratus," katanya.
Al Jadaan berkata pencapaian 2022 adalah hasil kerja berterusan pada tahun-tahun sebelumnya.
Untuk rekod, Inflasi Arab Saudi sebelum ini direkodkan pada kadar 2.6 peratus pada tahun 2022.