Arab Saudi pertingkat keselamatan pada musim haji

Razak Chik
Oktober 9, 2013 08:17 MYT
Pihak berkuasa Arab Saudi berkeupayaan memberi perlindungan kecemasan kepada lebih dari 50,000 jemaah haji sekiranya terjadi bencana pada musim haji ini.
Seramai 1,200 kakitangan pertahanan awam sedia ditempatkan di sekitar Masjidil Haram dan 1,500 lagi di sekitar Mina pada hari-hari Tasryiq.
Jumlah ini ditambah dengan kehadiran sebanyak 12 pasukan khas yang akan bertugas sekitar Masjidil Haram dan lokasi ibadah yang lain.
Mereka akan dilengkapkan dengan kepakaran dalam bidang keselamatan dan keupayaan menangani ancaman daripada bahan letupan .
Pasukan keselamatan Masjidil Haram pula bersedia dengan pelan tindakan menghadapi sebarang situasi kecemasan yang mungkin timbul di dalam masjid mahupun di ruang luar.
Bercakap pada satu sidang akhbar di Pengkalan Keselamatan Masjidil Haram, pegawai memerintah Mejar Jeneral Yahya al-Zahrani berkata bahawa kesemua pihak berkenaan sudah membuat persediaan yang rapi.
Pihak keselamatan juga bersedia untuk menghadapi kemungkinan hujan lebat mahupun angin kencang yang mungkin melanda terutama di kawasan Masya’er yang akan menjadi tumpuan jutaan umat Islam pada hari Wuquf dan hari-hari Tasyriq.
Dari segi menahan pergerakan jemaah tanpa permit, teknologi terkini diguna untuk memantau pergerakan kenderaan ke arah Kota Mekah.
Bukit dan gunung sekitar Mekah juga dipantau oleh polis menggunakan kamera dan tinjauan helikopter.
Sementara itu, warga asing yang menjadi pemastautin luar Kota Mekah pula memerlukan dua jenis permit iaitu Iqomah dan Tasreeh yang dikeluarkan oleh Jabatan Pasport sekiranya mereka ingin mengerjakan haji tahun ini.
Ini merupakan sebahagian dari usaha kerajaan Arab Saudi mengurangkan jumlah jemaah tempatan pada kadar 50%.
#Arab Saudi #Iqomah #Major Jeneral Yahya al-Zahrani #Masjidil Haram #Masyaer #Mina #Tasreeh #Tasryiq