Arab Saudi pernah beri amaran kepada Jerman tentang suspek insiden Magdeburg
Astro Awani
Disember 21, 2024 21:31 MYT
Disember 21, 2024 21:31 MYT
MAGDEBURG: Arab Saudi pernah memberi amaran kepada pihak berkuasa Jerman mengenai lelaki disyaki terlibat dalam insiden di pasar Krismas Magdeburg, yang telah menyebabkan lima maut manakala 200 cedera.
Lelaki berkenaan, yang dikenali sebagai Taleb A merupakan merupakan seorang doktor warga Arab Saudi.
Sumber Arab Saudi yang memaklumkan kepada agensi berita Reuters juga mendedahkan bahawa Riyadh sudahpun memberi amaran tentang lelaki berkenaan sejak dia menerbitkan beberapa pandangan ekstrem di platform X.
Malah amaran tentang lelaki berkenaan sudah diberikan Riyadh sebanyak beberapa kali sejak dia meninggalkan Arab Saudi pada 2006 lagi.
Suspek berjaya ditahan di lokasi serangan dan motif serangan masih tidak diketahui, sementara identiti sebenar suspek pula masih belum disahkan pihak polis.
Bagaimanapun laporan media tempatan menyatakan, suspek yang berusia 50 tahun itu tinggal di Jerman sejak 20 tahun lalu.
Laporan menyebut jurucakap klinik pemulihan pakar untuk penjenayah yang mengalami ketagihan di Bernburg, mengesahkan bahawa suspek bekerja sebagai pakar psikiatri di klinik terbabit, tetapi tidak bekerja sejak Oktober kerana cuti sakit dan bercuti.
Siaran pada akaun X milik suspek dan disahkan oleh Reuters, menunjukkan suspek adalah seorang yang membenci Islam dan menunjukkan sokongan kepada parti anti-Islam dan sayap kanan, termasuk Alternatif untuk Jerman (AfD).
Suspek juga didapati pernah mengkritik langkah kerajaan Jerman mengendalikan pelarian dari Arab Saudi
Suspek juga didapati memuat naik kandungan yang menyokong pemerintahan rejim Zionis Israel.
Sementara itu, Wall Street Journal dalam satu laporannya yang merujuk salah seorang pegawai penyiasat memberitahu bahawa suspek telah tiba di Jerman sebagai pencari suaka yang mengatakan dia telah melarikan diri dari Arab Saudi kerana undang-undang Islam yang ketat, di mana dia diberikan status pelarian sebelum mendapat status pemastautin tetap di negara itu.
Suspek juga pernah muncul dalam beberapa wawancara media pada 2019, termasuk dengan akhbar Jerman FAZ dan saluran milik kerajaan Britain, BBC, di mana dia bercakap tentang kerjanya sebagai aktivis membantu rakyat Arab Saudi dan individu-individu murtad untuk melarikan diri ke Eropah.