Arab Saudi pendekkan tempoh khutbah Jumaat kepada 15 minit

Astro Awani
Jun 21, 2024 06:40 MYT
Isyarat diraja ini merupakan prinsip asas Arab Saudi yang memberi keutamaan kepada keselamatan dan perlindungan jemaah. - Foto fail/BERNAMA
RIYADH: Kepimpinan Tertinggi Arab Saudi telah mengeluarkan arahan untuk memendekkan tempoh khutbah Jumaat dan solat di dua masjid suci kepada 15 minit bermula 21 Jun hingga akhir musim panas ini.
Arahan itu juga termasuk menjadikan tempoh masa antara azan pertama dan azan kedua 10 minit dengan melambatkan waktu azan pertama.
Perkara itu diumumkan Presiden Hal Ehwal Agama Masjidil Haram dan Masjdi Nabawi, Sheikh Abdulrahman bin Abdulaziz Al-Sudais.
Sheikh Al-Sudais menghargai pengeluaran arahan diraja itu dengan mengatakan ia mencerminkan kesungguhan Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman dan Putera Mahkota serta Perdana Menteri Mohammed bin Salman dalam memastikan kesihatan, keselesaan dan keselamatan tetamu Allah.
"Ini juga menunjukkan keprihatinan pimpinan untuk memudahkan pelaksanaan ibadah Jumaat dengan lebih mudah serta mencegah kemudaratan jemaah haji dan jemaah yang menunaikan solat Jumaat di Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.
"Isyarat diraja ini merupakan prinsip asas Arab Saudi yang memberi keutamaan kepada keselamatan dan perlindungan jemaah.
"Oleh itu, keputusan untuk memendekkan dua khutbah Jumaat di Dua Masjidil Haram menjadi 10 minit berbanding 30 hingga 45 minit untuk meringankan beban jemaah berikutan suhu yang meningkat di kedua-dua masjid itu dan kota-kota suci," katanya seperti dilaporkan Saudi Gazzate, pada Sabtu.
Keadaan sesak di Kota Suci Makkah dan Madinah ketika ini membuatkan ramai jemaah terdedah secara langsung kepada panas terik matahari pada ketika suhu mencapai kemuncaknya dari 11 pagi hingga 4 petang.
Sheikh Al-Sudais berkata, pengurangan dalam pelaksanaan amalan diperlukan untuk melindungi mereka daripada tekanan haba dan keletihan yang ditimbulkannya, terutamanya kepada jemaah haji yang merupakan pesakit dan warga emas.
"Kepimpinan Arab Saudi sentiasa berusaha untuk menjaga tetamu Allah dan bersungguh-sungguh untuk menyediakan kemudahan, keselamatan dan jaminan kepada mereka dalam semua keadaan.
"Ini supaya mereka dapat melakukan ibadah dengan senang dan selesa tanpa mendatangkan bahaya atau kerosakan," ujarnya.
Beliau berkata, Arab Saudi adalah Kerajaan umat manusia yang menganggap terdapat hubungan rapat antara melindungi jiwa manusia yang murni dan persaudaraan manusia.
Justeru katanya lagi, memelihara diri adalah salah satu objektif mulia undang-undang Syariah dan prinsip kemanusiaan untuk memelihara nyawa dan jiwa manusia.
#khutbah Jumaat #pendekkan tempoh #Azan #musim panas
;