Arab Saudi panggil pulang duta di Lubnan

Astro Awani
Oktober 29, 2021 07:55 MYT
Kordahi pada 5 Ogos dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa puak Houthi Yaman yang pro-Iran, hanya mempertahankan diri mereka. - Gambar fail AP
ARAB Saudi pada Jumaat memanggil pulang dutanya ke Lubnan untuk rundingan dan mengarahkan duta Lubnan ke negara itu meninggalkan Riyadh.
Menurut agensi berita saudi SPA, arahan itu berkuat kuasa dalam tempoh 48 jam.
Serentak itu, Arab Saudi turut mengharamkan semua import dari Lubnan.
Tindakan ini susulan penyebaran video kenyataan provokasi Menteri Penerangan Lubnan George Kordahi berhubung perang di Yaman dalam satu temu bual dengan al Jazeera.
Kordahi pada 5 Ogos dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa puak Houthi Yaman yang pro-Iran, hanya mempertahankan diri mereka.
Dia juga mendakwa, perang di Yaman adalah satu bentuk keganasan serta pencerobohan Arab Saudi.
Tindakan Arab Saudi ini juga dipercayai susulan kegagalan Lubnan menghentikan eksport dadah menerusi pelabuhan Lubnan ke negara itu.
Kegagalan Lubnan mengenakan hukuman ke atas mereka yang terlibat jenayah yang mensasarkan rakyat Arab Saudi, serta kurangnya kerjasama untuk ekstradisi suspek, bercanggah dengan perjanjian kerjasama kehakiman Arab-Riyadh.
#Arab Saudi #lubnan #George Kordahi #perang yaman
;