Arab Saudi namakan projek naik taraf Masjidil Haram sebagai 'Serambi Saudi'

Bernama
Mei 22, 2023 05:30 MYT
Serambi Saudi yang mengelilingi Serambi Abbasiyah, menampilkan kawasan lebih luas yang belum pernah dilihat oleh jemaah Masjidil Haram sebelum ini. - Gambar fail/Bernama
ISTANBUL: Pihak berkuasa Arab Saudi mengeluarkan kelulusan bagi menamakan projek naik taraf Mataf di Masjidil Haram sebagai 'Serambi Saudi," lapor Agensi Anadolu memetik media tempatan.
Ketua Presiden Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais, mengumumkan perkara itu pada Ahad, lapor Saudi Gazette.
Bangunan ini mempunyai empat tingkat dan mampu menampung 287,000 jemaah dan membolehkan 107,000 orang melakukan tawaf di Kaabah sejam.
"Pengasas Arab Saudi moden, Raja Abdul Aziz mengarahkan projek naik taraf Masjidil Haram bagi menampung peningkatan jumlah jemaah haji, dan kerja-kerja naik taraf bermula semasa zaman Raja Saud pada 1955," menurut Saudi Gazette.
"Serambi Saudi yang mengelilingi Serambi Abbasiyah, menampilkan kawasan lebih luas yang belum pernah dilihat oleh jemaah Masjidil Haram sebelum ini.
"Serambi Saudi menyediakan ruang yang lebih luas berdasarkan piawaian kejuruteraan yang berkualiti tinggi dan tepat," kata Al-Sudais.
Menurut data rasmi, lebih dua juta jemaah haji akan menunaikan rukun Islam kelima itu pada tahun ini.
--BERNAMA-ANADOLU
#Serambi Saudi #piawaian kejuruteraan #rukun islam #jemaah haji
;