Arab Saudi larang kemasukan pelawat dari 20 negara
Sinar Harian
Februari 3, 2021 11:16 MYT
Februari 3, 2021 11:16 MYT
RIYADH: Arab Saudi pada Selasa melarang kemasukan pelawat dari 20 buah negara buat sementara waktu sebagai cara untuk menghalang peningkatan jangkitan pandemik COVID-19.
Penggantungan itu yang diumumkan oleh Kementerian Dalam Negeri negara tersebut akan berkuat kuasa pada Rabu dari jam 9 malam waktu tempatan, lapor Saudi Press Agency.
Larangan itu melibatkan negara jiran iaitu Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Lubnan dan Turki.
Ia turut melarang kemasukan pelawat dari Britain, Perancis, Jerman, Ireland, Itali, Portugal, Sweden dan Switzerland.
Turut sama dalam larangan itu ialah pelawat dari Amerika Syarikat (AS), Argentina, Brazil, Pakistan, India, Indonesia, Jepun dan Afrika Selatan.
Bagaimanapun, menurut AFP, warga Arab Saudi termasuk diplomat dan kakitangan kesihatan dari negara-negara tersebut dibenarkan memasuki negara beraja itu tetapi perlu mengikut langkah-langkah pencegahan pandemik COVID-19 yang ketat.
Pengumuman larangan itu dibuat selepas Menteri Kesihatan Arab Saudi, Tawfiq al-Rabiah memberi amaran pada Ahad lalu bahawa satu sekatan perjalanan baharu mungkin dilaksanakan jika rakyat negara tersebut dan penduduk tidak mematuhi sekatan kesihatan bagi mencegah COVID-19.
Arab Saudi melaporkan lebih 368,000 kes pandemik itu dan hampir 6,400 kematian iaitu antara yang tertinggi di negara-negara Arab.
Pada awal Januari lalu, jangkitan harian COVID-19 berada di bawah 100 kes berbanding 5,000 kes jangkitan pada Jun tahun lalu.
Namun, jangkitan harian selepas Januari tahun ini meningkat tiga kali ganda apabila pada Selasa lalu, ia mencatatkan 310 kes seperti dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan.