Arab Saudi ingin tahu lebih Program Transformasi Nasional - Rahman Dahlan
Astro Awani
Januari 29, 2017 22:46 MYT
Januari 29, 2017 22:46 MYT
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata Arab Saudi menyatakan minat terhadap kejayaan Malaysia melaksanakan langkah-langkah perubahan holistik melalui Program Transformasi Nasional.
Menurut Abdul Rahman, hasrat Riyadh itu dinyatakan melalui pertemuannya dengan Menteri Perancangan dan Ekonomi Arab Saudi, Adel Fakieh, hari ini.
"Arab Saudi berminat dengan langkah-langkah transformasi dan Malaysia akan menghantar pakar-pakar untuk membantu," kata beliau dalam satu kenyataan ringkas hari ini.
Abdul Rahman kini berada di Riyadh mewakili Malaysia dalam beberapa perjumpaan bersama menteri dan wakil rasmi Kerajaan Arab Saudi
Pada masa yang sama, beliau turut menyeru pemimpin dan warga Arab Saudi supaya memanfaatkan Malaysia sebagai gerbang untuk menembusi pasaran rantau Asia Timur.
Selain itu jelasnya, pertemuan dua pemimpin itu juga signifikan dalam merangka kerjasama strategik baharu ekonomi dan perdagangan serta perniagaan atas talian.