Arab Saudi dituduh gagal urus pergerakan jemaah haji
Astro Awani
September 25, 2015 13:07 MYT
September 25, 2015 13:07 MYT
Iran menyalahkan Arab Saudi di atas kegagalan menguruskan pergerakan jemaah sehingga mengakibatkan insiden rempuhan yang mengorbankan 717 jemaah setakat ini.
Timbalan Menteri Luar Iran, Hossein Amir Abdullahain berkata pihak berkuasa eksekutif Arab Saudi perlu dipertanggungjawabkan di atas kejadian yang berlaku di Street 2004, berhampiran Pusat Perkhemahan Mina pada Khamis.
"Sangat jelas bagi kami bahawa kegagalan pengurusan oleh pegawai eksekutif yang bertanggungjawab memastikan pergerakan jemaah haji ke arah Jamarat telah menyebabkan insiden pahit dan malapetaka ini.
"Pegawai Saudi perlu dipertanggungjawabkan dalam hal ini," katanya ketika ditemubual secara langsung bersama siaran televisyen tempatan IRINN di Tehran hari ini.
Kejadian rempuhan di Mina meragut sekurang-kurangnya 90 nyawa jemaah Iran dan Tehran turut mengumumkan tiga hari berkabung.
Tragedi rempuhan di Mina mencatatkan jumlah yang korban tertinggi membabitkan jemaah haji untuk tempoh 25 tahun.