Arab Saudi catat kematian pertama akibat COVID-19
Agensi
Mac 24, 2020 23:56 MYT
Mac 24, 2020 23:56 MYT
Arab Saudi pada Selasa melaporkan kematian mangsa pertama akibat COVID-19, selain 205 kes positif baharu, menjadikan keseluruhan kes kepada 767, lapor Al Arabiya.
Peningkatan kes jangkitan tertinggi dalam sehari itu diumumkan oleh Kementerian Kesihatan semasa taklimat kepada media.
Kementerian itu berkata, mangsa merupakan ekspatriat dari Afghanistan, selain menyeru orang awam supaya menghindari perjumpaan sosial sebaik mungkin demi mencegah penularan wabak koronavirus tersebut.
Sementara itu, Kementerian Perdagangan dan Industri memberi amaran terhadap pihak yang cuba memanipulasi harga barangan. Tegasnya, barangan keperluan masih banyak di kesemua bandar di emiriah tersebut.
Kementerian Dalam Ngeri pula menambah, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang pihak yang menyebarkan khabar angin dan berita palsu, sekali gus berikrar akan memerangi semua berita tidak sahih yang boleh menjejaskan usaha pemerintah mengekang virus COVID-19.
Selain itu, kementerian berkenaan juga memuji pematuhan perintah berkurung oleh rakyatnya, dan akan mengenakan hukuman yang berat untuk yang ingkar.