Arab Saudi bimbang peningkatan jemaah haji hadapi masalah kesihatan kronik

Bernama
September 21, 2014 23:39 MYT
Walaupun menunaikan haji wajib bagi umat Islam jika mereka mempunyai kemampuan dari segi fizikal dan kewangan, kebanyakan jemaah tidak mengambil perhatian terhadap perkara tersebut. - Gambar Fail
Arab Saudi melahirkan kebimbangan mengenai peningkatan jumlah jemaah haji yang menghadapi masalah kesihatan kronik atau serius kerana ini boleh memudaratkan kesihatan jemaah lain.
Keadaan ini juga memberi masalah tambahan kepada kemudahan kesihatan di Tanah Suci, menurut Arab News dalam portal beritanya www.arabnews.com pada Ahad.
Timbalan Menteri Kesihatan (Pencegahan) Abdallah Al-Asiri, dipetik sebagai berkata oleh portal berita itu bahawa walaupun menunaikan haji wajib bagi umat Islam jika mereka mempunyai kemampuan dari segi fizikal dan kewangan, kebanyakan jemaah tidak mengambil perhatian terhadap perkara tersebut.
Beliau berkata kebanyakan orang Islam di seluruh dunia percaya bahawa meninggal dunia semasa menunaikan haji atau berada di Tanah Suci akan mendapat ganjaran masuk syurga dan ini menyebabkan ramai jemaah haji menyembunyikan masalah kesihatan mereka semasa menunaikan haji.
Beliau menggesa para ulama di negara lain memberi penekanan kepada hakikat bahawa kemampuan fizikal adalah syarat penting bagi menunaikan haji.
#Abdallah Al-Asiri #Arab Saudi #Haji #Makkah #penyakit