Arab Saudi benar peminat sukan hadir ke stadium, fasiliti sukan dalam kapasiti penuh

Agensi
Oktober 17, 2021 15:45 MYT
Para peminat sukan di Arab Saudi akan dibenarkan hadir ke stadium dan kemudahan sukan lain dengan kapasiti penuh dalam pelbagai pertandingan sukan bermula Ahad.
RIYADH: Para peminat sukan di Arab Saudi akan dibenarkan hadir ke stadium dan kemudahan sukan lain dengan kapasiti penuh dalam pelbagai pertandingan sukan bermula Ahad.
Kementerian Sukan Arab Saudi memaklumkan, kemasukan orang awam ke stadium dan pelbagai lagi fasiliti sukan itu hanya kepada mereka yang sudah mendapatkan suntikan lengkap vaksinasi.
Ia turut melibatkan individu yang terkecuali daripada mengambil dua dos suntikan vaksin seperti yang tertakluk dalam aplikasi Tawakkalna.
Mengikut kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, orang ramai masih perlu mematuhi arahan yang ditetapkan kerajaan termasuk pemakaian pelitup muka ketika di fasiliti sukan.
Dalam pada itu, kementerian tersebut menjelaskan bahawa keputusan itu akan dipantau secara berkala berdasarkan kepada sebarang perkembangan yang berkaitan dengan pandemik COVID-19.
#Arab Saudi #COVID-19 #sukan #pelitup muka #SOP #kapasiti penuh