Arab Saudi anjur persidangan antarabangsa mengenai wanita Islam

Bernama
November 6, 2023 23:07 MYT
Persidangan tiga hari anjuran OIC itu juga antara lain menentang propaganda negatif yang menggambarkan Islam sebagai penghalang hak wanita. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Arab Saudi menganjurkan "International Conference on Women in Islam" di Jeddah pada Isnin untuk menyerlahkan kejayaan, peranan dan sumbangan wanita Islam dari negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam pembangunan negara.
Persidangan tiga hari anjuran OIC itu juga bertujuan untuk menentang propaganda negatif yang menggambarkan agama Islam sebagai penghalang kepada hak wanita, menurut kenyataan Union of OIC News Agencies (UNA).
Persidangan itu merangkumi lima sesi, dengan menteri, pegawai, ulama dan pemikir kedua-dua gender akan membincangkan mengenai status wanita dan hak mereka dalam Islam di samping pelbagai isu berkaitan wanita dalam masyarakat kontemporari.
Selain itu, persidangan berkenaan juga bertujuan untuk mewujudkan pelan terperinci bagi pembaharuan undang-undang dan inisiatif politik untuk memupuk keadilan dan memperkasa wanita dalam masyarakat Islam.
Dokumen komprehensif bertajuk "The Jeddah Document for Women in Islam" dijangka diterima pakai pada penghujung persidangan.
Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal bin Farhan Al Saud dalam ucapannya pada Sesi ke-49 Majlis Menteri Luar OIC di Mauritania Mac lepas berkata inisiatif Arab Saudi untuk menjadi tuan rumah persidangan itu, membuktikan komitmen dan peranan aktif kerajaan dalam mempromosi status dan pemerkasaan wanita merentasi semua sektor pembangunan.
-- BERNAMA
#persidangan antarabangsa #hak wanita #Arab Saudi #oic
;