Arab Saudi akan hentikan perintah berkurung pada 21 Jun, kecuali di Mekah
Astro Awani
Mei 26, 2020 13:27 MYT
Mei 26, 2020 13:27 MYT
Arab Saudi akan mula mengurangkan sekatan pergerakan dan perjalanan minggu ini, lebih dua bulan selepas pergerakan diperketatkan bagi membendung penularan pandemik COVID-19.
Sekatan itu akan dikurangkan bermula 21 Jun ini dalam tiga fasa kecuali bagi kota suci Mekah, lapor agensi berita negara itu pada Selasa.
Ibadah haji dan umrah yang menarik berjuta-juta pelancong dari seluruh dunia, bagaimanapun, akan terus ditangguhkan sehingga diberitahu kelak.
Arab Saudi merekod 74,795 kes COVID-19 dengan 399 kematian dan lebih 2,000 kes dicatatkan sehari.
Fasa pertama yang bermula Khamis ini bakal menyaksikan perintah berkurung selama 24 jam dilaksanakan sebelum ini dikurangkan dari pukul 3 petang ke 6 pagi di seluruh negara.
Sementara bermula 30 Mei ini, pergerakan bebas akan dibenarkan antara pukul 6 pagi dan 8 malam, lapor Saudi Press Agency.
Dalam masa sama, kerajaan turut membenarkan penerbangan domestik beroperasi, namun larangan penerbangan antarabangsa tetap diteruskan.
Masjid-masjid juga dibenarkan mengerjakan solat namun tertakluk kepada penjarakan sosial dan langkah kebersihan diutamakan, namun di Mekah, larangan kehadiran tetap dilaksanakan.
Kakitangan di sektor awam dan swasta juga sudah dibenarkan kembali ke pejabat.
Manakala perhimpunan sosial lebih daripada 50 orang masih dilarang termasuk majlis perkahwinan dan pengebumian.
Rakyat Arab Saudi turut diminta memakai topeng muka di tempat awam dan meneruskan amalan kebersihan dan penjarakan sosial walaupun selepas 21 Jun.
Mekah akan ketinggalan satu fasa ke belakang dengan tempoh berkurung diubah kepada jam 3 petang hingga 6 pagi sehingga 20 Jun.
Solat hanya boleh disambung di masjid-masjid mulai 21 Jun di Mekah.