Apple setuju pulangkan RM106.8juta kepada pelanggan

AFP
Januari 16, 2014 09:07 MYT
Apple telah bersetuju untuk memulangkan sekurang-kurangnya 32.5juta dollar atau RM106.8juta kepada para pelanggannya di Amerika Syarikat atas pembelian atas talian aplikasi kanak-kanak dari Apple Store miliknya yang dibuat tanpa kebenaran ibu bapa.
Langkah itu bakal dilaksanakan selepas Apple bersetuju terhadap perjanjian dengan Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan Amerika Syarikat, FTC.
Pengerusi FTC, Edith Ramirez berkata, Apple gagal memberitahu kepada ibu bapa terhadap tempoh bukaan selama 15 minit yang membenarkan kanak-kanak terus membuat pembelian tanap perlu memasukkan kembali kata laluan.
Apple turut diminta oleh FTC bagi menukar prosedur pengebilan bagi memastikan pelanggan mendapat atau diberi kebenaran sebelum mereka dicaj untuk pembelian aplikasi dalam talian dan syarikat pengeluar telefon pintar itu juga telah memperuntukan minimum 32.5juta dollar untuk dipulangkan kepada pengguna serta tiada had maksima.
Ketua Eksekutif Apple, Tim Cook berkata, Apple tidak akan melawan perintah FTC kerana syarikat itu telah sekian lama menuruti amalan yang ditetapkan kawal selia Amerika Syarikat dan enggan terlibat dengan pertelingkahan panjang di mahkamah.
Tambahnya, Apple telah menghantar 28 juta emel kepada pengguna App Store untuk menawarkan pembayaran balik, dan telah menghantar poskad apabila ada antara emel-emel terbabit gagal disampaikan.
#Apple #bayar balik #FTC #tim cook
;