Apple mohon maaf selepas iklan iPad Pro guris perasaan

Amanz
Mei 10, 2024 13:45 MYT
Iklan Crush! telah ditonton lebih sejuta kali di YouTube. Komen negatif mula muncul di media sosial seperti X/Twitter beberapa minit selepas ia dipertontonkan. - Foto Amanz
APPLE iPad Pro dilancarkan beberapa hari lalu sebagai peranti pertama dengan cip Apple M4 dan produk paling nipis pernah mereka hasilkan.
Bagi menunjukkan kemampuan iPad Pro serta “kenipisannya,” sebuah iklan telah dihasilkan menunjukkan pelbagai alat muzik, seni, permainan video dan banyak lagi, dihimpit oleh sebuah mesin gergasi.
Hari ini, Apple memohon maaf kerana menghasilkan iklan itu kerana ia dilihat sebagai bersikap tidak sensitif terhadap artis.
Oleh itu, katanya, iklan itu tidak akan digunakan untuk mempromosikan iPad Pro di kaca televisyen.
Iklan Crush! telah ditonton lebih sejuta kali di YouTube.
Komen negatif mula muncul di media sosial seperti X/Twitter beberapa minit selepas ia dipertontonkan.
Antara komen yang dapat dilihat ialah, video menunjukkan instrumen piano, trompet dan gitar dimusnahkan mengguris hati ahli muzik.
Sementara itu, pengguna dari Jepun pula mengatakan, mengikut budaya tempatan, memusnahkan barangan seperti di dalam iklan itu dianggap perbuatan kurang beradab.
Bagaimanapun, di Malaysia, setakat ini tiada golongan artis yang merungut. - Amanz
#Apple #ipad pro #mohon maaf #iklan tidak sensitif
;