Syarikat Apple Inc., yang berhadapan cabaran pasaran tablet dunia yang semakin menurun, melancarkan produk iPad terbaharunya yang turut mengandungi ciri pembayaran online dan pengimbas keselamatan cap jari pada Khamis, ciri-ciri yang sebelum ini diperkenalkan pada produk terbaharu iPhone syarikat itu.

Gergasi teknologi itu juga mempertaruhkan iPad Air 2 yang lebih nipis dan paparan grafik yang lebih baik untuk bersaing dengan syarikat lain.

Tidak seperti telefon bimbit, pemilik gajet tablet mengambil masa lebih lama untuk menukar peranti milik mereka, dianggarkan secara purata, selepas tiga tahun. Ini memaksa Apple untuk tampil dengan ciri-ciri terkini dan paling canggih pada Ipad.

iPad terbaharu ini berukuran 6.1 milimeter, 18 peratus lebih nipis dari versi sebelum ini dan diberi jolokan “tablet paling nipis di dunia.”

Tablet yang diperbuat daripada aluminium itu menggunakan pemproses A8X dan dikatakan boleh bertahan sehingga 10 jam menggunakan bateri.

iPad
Dua produk terbaharu Apple, iPad Air 2 (kanan) dan iPad Mini 3 - AP Photo/Marcio Jose Sanchez

Ia seberat 435 gram dan mempunyai dua kamera depan dan belakang selain mampu mengambil video dengan resolusi tinggi.

Dalam pengumuman malam tadi, Apple turut memperkenalkan iPad Mini 3, yang mempunyai pengimbas ibu jari sebagai ciri keselamatan.

Harga untuk pasaran Amerika Syarikat adalah pada USD399 (RM1,277) untuk iPad mini terbaharu dan USD499 (RM1,600) untuk iPad Air 2. Berita baik, Apple turut mengumumkan pemotongan harga untuk semua model iPad yang dikeluarkan sebelum ini.

CEO Apple, Tim Cook ketika membuat pengumuman mengenainya berkata sejumlah 225 juta iPad telah terjual sejak ia mula dipasarkan empat tahun lalu.

iPad apple
Apple turut melancarkan komputer iMac dengan paparan 27 inci yang berdefinisi tinggi - Justin Sullivan/Getty Images/AFP

Namun para penganalisis berpandangan pasaran untuk gajet tablet akan hanya meningkat 6.5 peratus tahun ini berbanding 50 peratus tahun lalu. Pasaran juga mula dimonopoli oleh tablet berasaskan sistem Android yang dipasarkan kebanyakkannya oleh syarikat pesaing Apple, Samsung.

Selain iPad, Apple turut melancarkan komputer iMac dengan paparan 27 inci yang berdefinisi tinggi. Turut diumumkan, versi baru Mac Mini yang lebih berkuasa dan pada harga lebih rendah.