Apple labur US$500 bilion di AS dalam tempoh empat tahun di sebalik ancaman tarif Trump

Bernama
Februari 24, 2025 05:45 MYT
Apple akan melabur US$500 bilion di Amerika Syarikat dalam tempoh empat tahun akan datang, dengan memperluas pasukan dan kemudahan di Michigan, Texas, California, Arizona, Nevada, Iowa, Oregon, North Carolina dan Washington. - Gambar fail Reuters
ISTANBUL: Apple mengumumkan pada Isnin bahawa syarikat itu akan melabur US$500 bilion di Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh empat tahun akan datang, dengan memperluas pasukan dan kemudahan di Michigan, Texas, California, Arizona, Nevada, Iowa, Oregon, North Carolina dan Washington.
"Rancangan ini merangkumi pembinaan kilang baharu di Texas, menggandakan Dana Pembuatan Termaju AS, penubuhan akademi pembuatan serta mempercepatkan pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI) dan kejuruteraan silikon," menurut kenyataan Apple yang dipetik Anadolu Ajansi.
Pada Jumaat, Presiden AS Donald Trump berkata: "Saya bertemu Tim Cook dari Apple di pejabat. Dia melabur ratusan bilion dolar."
Menurut Trump, Cook sedang memindahkan pembuatan Apple dari Mexico ke AS dan berkata: "Kita akan melihat lebih banyak pengeluar cip dan pembuat kereta datang ke sini. Mereka telah menghentikan dua kilang di Mexico. Mereka tidak mahu membayar tarif, jadi mereka memilih untuk membina di sini. Tarif ini sangat berkesan. Ini sesuatu yang baik."
Dalam kenyataan akhbar pada Isnin, Cook berkata, Apple optimis terhadap masa depan inovasi Amerika: "Kami berbangga untuk meneruskan pelaburan jangka panjang kami di AS dengan komitmen US$500 bilion ini untuk masa depan negara kami."
Sebagai sebahagian daripada pakej pelaburan ini, gergasi teknologi dan rakan kongsinya akan membuka kemudahan pembuatan termaju baharu di Houston bagi menghasilkan pelayan yang menyokong Apple Intelligence, sistem kecerdasan peribadi yang membantu pengguna menulis, meluahkan perasaan mereka dan menyelesaikan tugasan, menurut kenyataan itu.
Apple turut menyatakan bahawa "komitmen US$500 bilion ini merangkumi kerjasama Apple dengan ribuan pembekal di semua 50 negeri, pekerjaan secara langsung, infrastruktur dan pusat data Apple Intelligence, kemudahan korporat serta pengeluaran Apple TV+ di 20 negeri.
"Apple kekal sebagai antara pembayar cukai terbesar di AS, setelah membayar lebih US$75 bilion dalam cukai AS sepanjang lima tahun lepas, termasuk US$19 bilion pada 2024 sahaja."
Anadolu melaporkan susulan kenyataan Apple, Trump menulis di platform media sosial Truth: "Apple baru sahaja mengumumkan rekod pelaburan US$500 bilion di Amerika Syarikat.
"Sebabnya? Kepercayaan terhadap apa yang kita lakukan, tanpanya, mereka tidak akan melabur walau sepuluh sen sekalipun. Terima kasih Tim Cook dan Apple!" - BERNAMA
#Apple #pelaburan Apple #Donald Trump #tim cook
;