Apple jemput media lihat cara iPhone 6 Plus diuji susulan rungutan pengguna
Astro Awani
September 27, 2014 09:29 MYT
September 27, 2014 09:29 MYT
Susulan rungutan pengguna iPhone 6 Plus bahawa peranti milik mereka mudah bengkok, syarikat Apple Inc menjemput pihak media untuk menyaksikan sendiri bagaimana produknya menjalani ujian ketahanan yang tinggi.
Mereka dijemput ke lokasi dikenali sebagai tempat ujian lasak di mana semua model terbaharu Apple menjalani ujian ketahanan beribu-ribu kali.
Menurut laporan The Verge, sebanyak 15,000 peranti model terbaharunya - iPhone 6 dan iPhone 6 Plus – diuji dengan cukup teliti sebelum diluluskan untuk pengeluaran.
"Kedua-dua iPhone 6 dan iPhone 6 Plus adalah model yang paling banyak kali diuji," kata Naib Presiden Kanan Kejuruteraan dan Perkakasan Apple, Dan Riccio.
"Dengan ciri-ciri yang yang semakin bertambah, maka lebih banyak ujian yang kami lakukan untuk ‘memecahkannya’ sebelum pelanggan kami berbuat demikian.”
Menurut laporan MacRumors pada Rabu, iPhone 6 Plus milik beberapa pengguna didapati bengkok selepas diletakkan di dalam poket seluar mereka.
Video di YouTube yang menunjukkan peranti itu berjaya dibengkokkan juga tersebar di laman web and media sosial.
Mempertahankan produknya, Apple berkata ‘pelenturan’ amat jarang berlaku melalui penggunaan biasa.
"Secara dasarnya, peranti iPhone atau mana-mana model peranti lain akan berubah bentuk jika kuasa berlebihan digunakan,” tambah Riccio.
Isu ‘bengkok’ bukanlah sesuatu yang baru kepada Apple kerana generasi iPhone sebelumnya, termasuk iPhone 5 dan 5S iPhone, pernah menerima aduan pengguna atas masalah yang sama.
“Produk kami direka supaya ia amat lasak untuk penggunaan sebenar,” kata Naib Presiden Kanan Pemasaran Apple, Phil Schiller.
Apple menggalakkan pengguna yang berhadapan dengan peranti bengkok atau rosak untuk melawat kedainya supaya produk dapat diuji dan digantikan, jika masih dalam tempoh jaminan.
Apple mengumumkan telah menjual lebih 10 juta unit iPhone terbaharunya dalam masa tiga hari selepas ia dilancarkan berikutan permintaan kukuh terhadap telefon dengan paparan lebih besar.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tim Cook berkata, syarikat sepatutnya boleh menjual lebih banyak model iPhone 6 dan iPhone 6 Plus sekiranya bekalan mencukupi.