Apple dan MasterCard bekerjasama integrasi Apple Pay

Haider Yutim
September 18, 2014 12:59 MYT
Apple Pay merupakan transaksi mudah alih yang selamat. Foto AFP
Pengguna iPhone 6, iPhone 6 Plus dan Apple Watch kini boleh menikmati cara pembayaran yang lebih mudah dengan adanya Apple Pay.
Apple telah memperkenalkan aplikasi terbarunya itu yang membolehkan pemegang kad kredit Mastercard menggunakan peranti mudah alih tersebut bagi urusan pembelian harian.
Menurut satu kenyataan oleh Apple, MasterCard telah membina asas bagi transaksi mudah alih yang selamat, agar pengguna dapat menggunakan kad mereka bila, di mana dan apa jua cara yang mereka inginkan.
Untuk membuat pembayaran menggunakan aplikasi tersebut, pengguna hanya perlu meletakkan iPhone berhampiran pembaca tanpa sentuh, dengan jari mereka pada Touch ID dan transaksi mereka akan disahkan.
Bagi pembelian melalui aplikasi pula, menurut Apple, pengguna hanya perlu sentuh untuk membayar dan mengesahkannya dengan cap jari atau kod laluan.
Cara ini dapat memudahkan pembelian tanpa perlu memasukkan nombor kad atau memberhentikan aplikasi.
Ketua Pegawai Pembayaran, MasterCard, Ed McLaughlin berkata Apple Pay memberikan pengguna satu cara yang mudah, selamat dan mengutamakan privasi untuk membeli-belah.
"Kami telah menjadi pelopor inovasi perdagangan mudah alih bertahun lamanya termasuk penyelesaian pembayaran tanpa sentuh dan mudah alih yang pertama di dunia.
"Kami teruja bahawa tidak lama lagi pemegang kad MasterCard dapat membuat pembayaran menggunakan iPhone 6, iPhone 6 Plus dan Apple Watch mereka dan mengetahui bahawa setiap pembelian adalah selamat dengan jaminan dan faedah yang sama seperti menggunakan kad MasterCard mereka," katanya lagi.
Apple Pay dijangka dapat dinikmati oleh pengguna di Amerika Syarikat melalui kemas kini percuma platform iOS 8 pada Oktober ini.
#Apple #Apple Pay #apple watch #iPhone 6 #Mastercard
;