Apple arah pekerja masuk pejabat tiga hari seminggu
Agensi
Ogos 16, 2022 19:00 MYT
Ogos 16, 2022 19:00 MYT
SAN FRANCISCO: Apple mengarahkan pekerjanya untuk kembali bekerja di pejabat tiga hari seminggu bermula September ini.
Ketua Eksekutifnya, Tim Cook berkata, langkah itu adalah demi mengekalkan kerjasama yang sangat penting dalam budaya kerja mereka.
Mengikut undang-undang baharu itu, semua pekerja di ibu pejabat dan cawangan berdekatan dikehendaki masuk ke pejabat pada hari Selasa dan Khamis serta satu hari lagi yang akan ditentukan oleh pengurus masing-masing.
Manakala untuk negara lain, pekerja akan kembali mengikut jadual yang ditetapkan berdasarkan situasi semasa.
"Kami teruja untuk bergerak ke hadapan dan percaya rangka kerja baharu ini akan meningkatkan keupayaan kami bekerja secara fleksibel, sambil mengekalkan kerjasama yang sangat penting dalam budaya kami," katanya dalam memorandum yang dipetik Financial Times.
“Kami juga tahu bahawa masih banyak yang perlu dipelajari. Dan kami komited untuk mendengar, menyesuaikan diri dan membangun bersama," tambahnya.
Cook menekankan bahawa aturan itu adalah permulaan dan akan diselaraskan mengikut keperluan.
Ini bukan kali pertama Apple mengeluarkan arahan sedemikian.
Pada Jun 2021, arahan serupa dikeluarkan untuk dilaksanakan pada September, namun ia ditarik balik susulan peningkatan kes COVID-19.