Aplikasi Tinder satukan adik-beradik terpisah16 tahun

Shamil Hizamie
April 23, 2015 12:56 MYT
Adik-beradik kandung yang berpisah selama 16 tahun bertemu semula selepas bersetuju untuk 'bertemu janji' di laman Tinder
Adik-beradik kandung yang terpisah selama lebih 16 tahun akhirnya bertemu semula selepas secara tidak sengaja bersetuju untuk bertemu janji (dating) di laman Tinder.
Erik de Vries, 24, dan Josephine Egberts, 22, tidak pernah bersua muka selepas ibu bapa mereka bercerai pada tahun 1999.
Bapa mereka membawa Erik dan kembarnya Maarten untuk menetap di Belgium manakala ibu mereka menjaga Josephine di Belanda.
Meskipun Erik dan Maarten pernah mencuba untuk mencari semua adik mereka tetapi usaha itu hanya membuahkan hasil apabila Erik berpindah semula ke Belanda baru-baru ini.
Tinder merupakan satu aplikasi yang membenarkan pengguna bertemu janji sekiranya kedua-duanya berminat terhadap satu sama lain.
“Pertama kali kami berbual menerusi Tinder, saya langsung tidak tahu bahawa kami mempunyai pertalian,” ujar Erik.
Selepas beberapa siri perbualan, latar belakang mengenai Josephine membuatkan Erik berasa curiga akan identiti wanita itu. Terutamanya tempat di mana Josephine membesar selain kisah bagaimana wanita itu terpisah dengan saudara kandungnya sejak kecil.
Pada mulanya, Erik memendam kecurigaan itu tetapi rasa ingin tahu mula menguasai diri. Lalu ditanya Josephine pelbagai soalan mengenai kisah lampaunya untuk mengesahkan identiti wanita itu.
Sementelah menyedari bahawa mereka sememangnya adik-beradik, kedua mereka bersetuju untuk bertemu di sebuah kafe tempatan.
“Apabila bertentang mata dengannya, segalanya mula tersimpul. Ia adalah detik yang sangat istimewa untuk bertemu darah daging sendiri selepas 16 tahun,” jelas Josephine.
Kembar Erik iaitu Maarten turut terkejut selain teruja dengan penemuan itu.
“Ini sememangnya sesuatu yang tidak disangka, detik ini adalah sangat istimewa. Saya amat gembira kerana akhirnya dapat berkenalan dengan adik kandung sendiri,” kata Maarten.
Ketiga adik-beradik itu kini merancang untuk menghabiskan lebih banyak masa bersama.
#Erik de Vries #Josephine Egberts #Tinder
;