Aplikasi cari jodoh 'Ayo Poligami' cetus kontroversi
Astro Awani
Oktober 2, 2017 19:24 MYT
Oktober 2, 2017 19:24 MYT
SATU aplikasi pencarian jodoh, "Ayo Poligami" yang dilancarkan di Indonesia mencetus kontroversi dan mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.
Dilancarkan April lalu, aplikasi ini menyediakan ciri yang membolehkan pengguna mencari calon isteri kedua, ketiga atau keempat dengan mendedahkan status perkahwinan mereka berserta surat keizinan isteri untuk berpoligami.
Memetik laporan portal Mynewshub, pemilik dan pengasas "Ayo Poligami", Lindu Cipta Pranayama berkata aplikasi itu dibangunkan dengan harapan menemukan lelaki dan wanita yang rela untuk berpoligami.
“Pada asalnya, kami reka laman pencarian jodoh ini untuk membantu golongan bujang yang belum mendapat jodoh, tetapi semasa tempoh pembangunannya, muncul pula isu poligami,” kata Lindu.
Menurut beliau, poligami sebenarnya boleh meruntuhkan sesebuah rumah tangga jika si suami tidak meminta keizinan isteri pertamanya untuk bernikah lagi.
Jadi, itulah sebab dia menekankan keizinan pasangan sebelum seseorang mengambil keputusan untuk berpoligami.
"Kita sudah ada banyak aplikasi untuk mencari calon isteri, tetapi belum ada yang khusus untuk poligami; tiada pilihan untuk itu," jelasnya lagi.
Aplikasi itu, walau bagaimanapun, mendapat kritikan daripada kalangan wanita.