APEC: Kukuhkan perjanjian perdagangan bebas, reformasi perdagangan - Penganalis

Madiha Abdullah
November 21, 2020 08:52 MYT
Muhyiddin menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC secara maya yang dihadiri pemimpin-pemimpin 21 ekonomi di rantau Asia Pasifik malam tadi. Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Negara Anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ketika ini masih dalam rangkaian tidak formal, di mana tiada perjanjian perdagangan bebas antara negara dan masih bergantung kepada aspek kerjasama dan kepercayaan.
Felo Ekonomi, Perdagangan dan Integrasi Serantau, Dr Juita Mohamad berkata, apa yang perlu ada dalam perancangan masa depan APEC ialah memperkukuh perjanjian perdagangan bebas mereka sendiri terlebih dahulu.
"Untuk menyelesaikan masalah trade war, mungkin perlu formalisasikan rangkaian APEC. Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) baru dimeterai dan ini akan beri peraturan baharu di peringkat antarabangsa.
"Dengan adanya perjanjian perdagangan serantau, negara terlibat akan terikat dan tak boleh lagi guna instrumen perdagangan untuk menyelesaikan masalah berkaitan politik atau keselamatan," katanya ketika muncul dalam program Buletin AWANI Khas sempena Sidang Kemuncak APEC, pada Jumaat.
Juita turut mengulas ucapan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu negara anggota melihat perdagangan serantau tidak hanya terhad pada servis atau perdagangan barangan semata-mata.
Sebaliknya, perhatian perlu diberi kepada reformasi perdagangan berdasarkan peraturan dan disiplin yang diterima pakai di peringkat antarabangsa.
"Kita boleh lihat bagaimana ekonomi digital berkembang dengan baik ketika pandemik di Malaysia, ia beri peluang pekerjaan kepada mereka yang hilang punca pendapatan.
"Kerana itu Perdana Menteri mengatakan bahawa digital ekonomi perlu diperbaiki dan diperkukuh di seluruh rantau dan negara APEC perlu perbaiki infrastruktur digital di negara masing-masing bagi membolehkan kerjasama yang berkesan.
"Selain itu kita juga perlu bekerjasama mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan anak muda dan wanita yang teruk terjejas semasa pandemik.
"Malaysia dan negara APEC yang lain perlu segera pertimbang usaha untuk mengadakan upskilling atau reskilling bagi membolehkan mereka dibantu, sekali gus membantu ekonomi kita," ujarnya.
#Anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #ekonomi #Malaysia #pandemik #politik #keselamatan #APEC #digital ekonomi #pendapatan #Infrastruktur #pengangguran #RCEP #Juita Mohamad #perdagangan bebas #perjanjian
;