APEC 2024 di Lima: Wujudnya integrasi atau dilema?

Najib Aroff, Harits Asyraf Hasnan
November 12, 2024 08:20 MYT
Di Peru, 70 peratus pekerja bekerja dalam sektor tidak formal sekali gus mendedahkan mereka kepada ketidaktentuan global seperti pandemik COVID-19. - Foto BERNAMA
LIMA: Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) membuka tirai secara rasmi di sini hari ini.
Para pemimpin, ketua-ketua negara mula berkumpul dengan antara yang terawal tiba adalah Sultan Brunei, Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang ditemani anakanda baginda, Putera Abdul Mateen.
Tahap keselamatan di negara itu diperketat ketika pemimpin 21 negara mula hadir, selain lebih 1,000 pemimpin industri turut membuat kemunculan dalam persidangan penting itu.
Sekolah, universiti dan bangunan awam di tutup pada Isnin bagi menguraikan aliran trafik disebalik kemungkinan berlakunya protes anti-kerajaan.
15,000 polis dan anggota tentera dikerah bagi menjaga keselamatan delegasi dari Malaysia, Australia, Brunei , Canada, Chile, China, Hong Kong , Indonesia, Jepun, Korea, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina , Rusia, Singapura , Taipei , Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.
Namun, cerita APEC ini bukan sahaja soal keselamatan tetapi ia soal 21 ekonomi anggotanya menangani pelbagai cabaran semasa.
Antara tumpuan AELW itu adalah perubahan iklim, penyelesaian tenaga mampan, peralihan ekonomi digital dan usaha memudah cara perdagangan selain menggalakkan usaha inovasi dan keterangkuman.
Bertemakan “Empower.Include.Grow”, tumpuan perbincangan akan merangkumi perdagangan dan pelaburan bagi pertumbuhan kesalinghubungan, inovasi dan pendigitalan bagi menggalakkan peralihan kepada ekonomi formal dan global serta pertumbuhan mampan untuk pembangunan yang berdaya tahan.
“Nilai APEC terletak pada keupayaannya untuk mengekalkan perbincangan yang telah kita jalankan selama ini. Kami sangat memberi tumpuan kepada ekonomi,” kata Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC, Tan Sri Dr Rebecca Sta Maria.
“Politik dan ‘bunyi bising’ luar mungkin ada, tetapi ia tidak menggangu kami. Kami sangat fokus kepada aspek ekonomi. Kami juga fokus kepada apa yang boleh kami lakukan bersama kerana kami sering bertemu.
“Kami sudah mengenali satu sama lain dengan baik dan saling mempercayai. Saya rasa membina kepercayaan dalam nilai organisasi multilateral terletak pada keupayaannya untuk membina kepercayaan.
“Jadi, jika kita lihat bagaimana APEC berfungsi selama ini, kami tidak bersuara lantang atau adakan majlis pembukaan besar-besaran, tetapi kerja berterusan sepanjang tahun.
“Bukan hanya tahun ini, tetapi merentasi tahun-tahun sebelum ini. Setiap tahun, kami cuba membina agenda,” katanya.
Dalam usaha mengurus kebersamaan ekonomi, APEC turut berdepan cabaran besar.
Antaranya geopolitik yang merencatkan dinamik perdagangan global, kerapuhan ekonomi dunia, integrasi ekonomi mendatar, sikap perlindungan negara yang semakin meluas selain isu halangan bukan tarif.
Mengambil contoh di Peru, 70 peratus pekerja bekerja dalam sektor tidak formal sekali gus mendedahkan mereka kepada ketidaktentuan global seperti pandemik COVID-19.
Namun, usaha membawa peralihan daripada tidak formal kepada formal juga satu cabaran besar kepada pembuat polisi.
Pelbagai kerenah birokrasi, syarat-syarat perniagaan dan kelemahan suara pekerja menjadi antara sebab sektor formal dilihat tidak menarik di mata warganya.
Di Amerika Syarikat pula, Donald Trump menang pemilihan Presiden minggu lalu.
Beliau dikenali dengan sikap perlindungan kepada negara Uncle Sam itu, dan jika sesuatu perjanjian itu pada hemat beliau tidak memihak kepada Amerika, beliau memilih untuk angkat kaki.
Justeru APEC juga kini meniti titian halus dan strategi khusus diperlukan untuk memastikan kebersamaan dalam mencorak globalisasi terus tercapai.
Malaysia selaku ekonomi ahli dan wakil suara kuasa tengah akan terus membawa agenda keterbukaan demi kemakmuran ekonomi.
APEC di Lima baru bermula, adakah akan ada langkah jelas soal integrasi ekonomi atau akan wujud dilema?
#APEC #AELW #persidangan #cabaran ekonomi
;