APEC 2023: Malaysia akan laksana tanggungjawab suarakan isu Palestin - Anwar
Bernama
November 8, 2023 14:04 MYT
November 8, 2023 14:04 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia akan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin dalam menyuarakan pandangan berhubung krisis Palestin-Israel pada sidang Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, California, Amerika Syarikat (AS) minggu depan.
Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beberapa perkembangan berkaitan krisis itu perlu dibincangkan terlebih dahulu.
"Kita akan bincangkan beberapa perkembangan dan akan kita jalankan tanggungjawab sebaik mungkin," katanya ringkas kepada pemberita selepas merasmikan Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa MPOB 2023 (PIPOC 2023) di sini hari ini.
Anwar berkata demikian semasa menjawab pertanyaan media sama ada beliau akan menggunakan pentas APEC 2023 untuk menyuarakan isu kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin.
Semalam, Anwar mengesahkan beliau akan menghadiri APEC 2023 biarpun terdapat desakan supaya beliau tidak menghadiri persidangan terbabit.
Perdana Menteri menegaskan beliau perlu menjaga hubungan diplomatik, keamanan dan ekonomi namun pada masa sama, Malaysia kekal tidak berganjak dari sudut mempertahankan keadilan dan menyokong perjuangan hak rakyat Palestin.
APEC adalah forum ekonomi serantau yang ditubuhkan pada 1989 untuk memanfaatkan saling kebergantungan yang semakin meningkat di Asia-Pasifik, yang akan bersidang di San Francisco bermula 11 hingga 17 Nov ini.
Terdahulu Anwar merasmikan PIPOC 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sejak semalam hingga esok, yang menghimpunkan lebih 100 penceramah serta sekitar 2,000 peserta dari seluruh dunia.
PIPOC 2023 menjadi platform perkongsian pandangan, trend ekonomi dan pertukaran teknologi terkini dalam industri sawit selain mengetengahkan lebih 400 pempamer daripada pemain industri itu.
-- BERNAMA