APEC 2020: China buka potensi pasaran menerusi paradigma pembangunan baharu
Hasimi Muhamad
November 19, 2020 11:36 MYT
November 19, 2020 11:36 MYT
KUALA LUMPUR: China menzahirkan komitmen menjalin kerjasama antarabangsa dan membuka potensi pasaran negara itu secara lebih luas menerusi kaedah paradigma pembangunan baharu.
Presidennya, Xi Jinping ketika menyampaikan ucapan bagi Dialog CEO Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Malaysia 2020 berkata paradigma pembangunan baharu adalah keputusan strategik yang dibuat berdasarkan tahap dan keadaan pembangunan semasa di China.
Selain itu, ia dijangka mewujudkan permintaan yang lebih besar untuk negara lain terhadap pasaran negara Tembok Besar itu, tambah beliau.
"Ini akan mewujudkan lebih banyak permintaan untuk pelbagai jenis produk, teknologi dan perkhidmatan berkualiti dari seluruh dunia.
"Walaupun terdapat kesan akibat COVID-19, import barang China pada dasarnya telah pulih ke tahap sama seperti tahun lalu," katanya dalam mesyuarat yang diadakan secara maya pada Khamis.
Mengulas lanjut, Xi berkata dasar terbuka China tidak akan berubah pada bila-bila masa.
Justeru, jelas beliau, paradigma pembangunan baharu turut membolehkan China mengembangkan kerjasama antarabangsa bagi menikmati manfaat bersama dengan negara lain.
Beliau dalam masa yang sama menzahirkan keyakinan terhadap peningkatan potensi pasaran China yang berterusan akan mewujudkan perniagaan yang lebih besar kepada negara-negara lain.
Ia sekali gus, katanya, akan mencipta sokongan yang lebih kuat dalam mengekalkan pertumbuhan ekonomi global yang stabil.
Berikut sasaran pelaksanaan paradigma pembangunan baharu:
1. Mengembangkan permintaan dalam negeri sebagai keutamaan strategik dan memastikan kelancaran aktiviti ekonomi
2. Mempergiatkan inovasi saintifik dan teknologi untuk memupuk pemacu pertumbuhan baharu
3. China akan mempergiatkan reformasi dan merancakkan pasaran
4. Membolehkan China buka sepenuhnya potensi pasaran dan mewujudkan permintaan yang lebih besar untuk negara lain
5. Mengukuhkan kerjasama antarabangsa untuk faedah bersama
Dialog CEO atau Ketua Pegawai Eksekutif APEC Malaysia 2020 pertama kali diadakan secara maya bagi acara tahunan Sidang Kemuncak CEO APEC.
Dianggarkan seramai 21 anggota ekonomi akan mengutarakan pelbagai isu mendesak rantau Asia Pasifik dan dunia susulan penularan pandemik COVID-19.
Antara yang turut berkongsi pandangan termasuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau; Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga; Presiden Indonesia, Joko Widodo; Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern; Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong; serta Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha.