APEC 2020: Ardern seru visi baharu kerjasama, perdagangan bebas antara tumpuan

Fareez Azman
November 20, 2020 11:36 MYT
Ardern berharap APEC 2020 dapat membawa visi baharu kerjasama Asia Pasifik untuk 20 tahun akan datang. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern berharap Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020 dapat membawa visi baharu kerjasama Asia Pasifik untuk 20 tahun akan datang.
Jelas Jacinda, visi baharu itu perlu memfokuskan kepada tiga perkara penting.
"Saya tidak mahu menjangkakan apa hasil mesyuarat pada malam ini, tetapi saya harapkan Pemimpin APEC dapat bersetuju untuk membina visi baharu bagi kerjasama Asia Pasifik untuk 20 tahun akan datang.
"Fokus perlu diberikan terhadap tiga perkara penting iaitu perdagangan bebas, inovasi digital, serta keterlibatan dan kemampanan," katanya ketika berucap pada Dialog CEO APEC 2020 secara maya hari ini.
New Zealand, jelasnya, akan memfokuskan mengenai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Digital bersama Chile dan Singapura.
"Tahun ini, kami mewujudkan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Digital bersama Chile dan Singapura untuk membantu dan mewujudkan peluang kepada pengeksport dan industri kecil dan sederhana dalam perdagangan digital.
"Saya komited untuk menjadikan New Zealand sebagai negara digital.
"Jika ekonomi APEC dapat terus berkembang dalam jangka masa panjang, kami yakin perkembangan ini lebih mampan dan inklusif," jelasnya lagi.
#Perdana Menteri #New Zealand #Dialog CEO APEC 2020 #Jacinda Arden #ekonomi #perdagangan #perjanjian #Chile #Singapura #PM
;