Apakah rasanya berpuasa di Cambridge?

Rizal Zulkapli
Jun 1, 2018 21:13 MYT
Berbuka puasa pada hari pertama di Wolfson College. Di dalam dewan makan ini tiada alat elektronik dibenarkan dan pelajar 'diarahkan' untuk berbual dan mengenali satu sama lain. - Astro AWANI
SUDAH hampir 15 hari berpuasa di Cambridge dan jujurnya, di sini sedikit sunyi, sedikit ‘kosong’.
Tiada bazar Ramadan, berbuka puasa beramai-ramai. Tiada ini, tiada itu. Apa yang tiada memang jelas untuk saya ‘tangisi’ dan rasai.
Namun, apalah gunanya memfokus kepada perkara yang tiada hingga menjadikan Ramadan ini penuh rengekan dan kerinduan kepada Malaysia.
Sejak hari pertama Ramadan, azam saya jelas - datanglah waktu sahur dan berbuka tanpa sambal ikan tenggiri atau cucur udang, saya tetap akan nikmati Ramadan ini sepuas-puasnya.
Satu Ramadan datang dengan penuh tanda tanya. Puasakah esok? Atau lusa? Saya dapat perkhabaran tentang Satu Ramadan ketika berbual berkenaan Malaysia Baharu di Formal Hall pada Selasa, bersama pelajar undang-undang dari Singapura dan Afrika Selatan.
Formal Hall (makan malam beradat) di Wolfson College adalah zon larangan bagi telefon bimbit. Rakan saya telah ‘menyeludup’ masuk telefon bimbitnya dan memeriksa hari pertama Ramadan di bawah meja!
Dia kemudian membisikkan kepada rakan yang lain, menyatakan puasa akan bermula pada Khamis, dan bukan Rabu seperti yang dijangkakan awal hari itu.
Di United Kingdom, tiada satu badan utama yang menjadi ‘payung’ kepada perkara berkaitan agama Islam. Maka, inisiatif seperti penentuan hari pertama Ramadan, tidak diuar-uarkan seperti di Malaysia menerusi Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu.
Tiada dentuman meriam dan tiada pukulan beduk. Yang ada cuma inisiatif daripada rakan-rakan, komuniti, untuk membantu menyebarkan berita yang disahkan di media sosial, e-mel dan aplikasi mesej.
Kekangan ini ditambah dengan sedikitnya jumlah pelajar Islam di Cambridge, Ramadan memaksa penganut Islam untuk lebih berkomunikasi, lebih ‘dekat’ dengan individu sama di sekeliling.
Inisiatif ini turut diterajui Naib Presiden Kesatuan Pelajar di Wolfson College yang menghantar email mengandungi inisiatif diluncurkan untuk memudahkan pelajar Islam di kolej ini menyambut Ramadan.
Ini termasuk pemberitahuan kepada semua pelajar tentang Ramadan, ruang solat, penggunaan dewan makan dan berbuka puasa bersama pada Ramadan pertama.
Ia kelihatan minimum, namun di komuniti universiti yang pernah dikritik kerana kurang kepelbagaian dalam kalangan pelajar yang diterima masuk, e-mel Ibrahim Mohamad (Ibz, juga seorang personaliti di YouTube) adalah kelegaan dan kepastian yang Ramadan di Cambridge tahun ini disambut bersama.
Jadi, pada hari pertama Ramadan, kami berbuka dengan juadah yang pelbagai, dipesan Ibrahim dan rakan kesatuan pelajar yang lain. Makanannya ringkas dan sedap. Beriani dan nasi putih dan pelbagai kari.
Puasa kami panjang, dari sekitar 3 pagi ke sekitar 9 malam, dan ia akan menjadi semakin panjang pada penghujung Ramadan.
Tiada rengekan dari rakan-rakan pelajar yang lain. Tiada rungutan tentang apa yang ‘tiada di depan mata’, wujud kesyukuran mendapat makanan yang halal untuk berbuka, ruang yang cukup untuk solat tarawih.
Semua ini lebih nikmat, lebih lazat dan lebih daripada cukup.
#Ramadan #pelajar asing #pelajar antarabangsa #ibadah puasa #buka puasa #pelajar malaysia #penuntut liuar negara #cambridge #jendela ramadan #ramadan2021
;