Apakah letupan dan gegaran Anak Krakatau benar-benar sudah berhenti?
Astro Awani
Disember 30, 2018 06:12 MYT
Disember 30, 2018 06:12 MYT
SEJAK Sabtu malam, gunung berapi Anak Krakatau dilihat sudah berhenti memuntahkan lava.
Ada yang menarik nafas lega berikutan kerisauan terhadap pelbagai ancaman yang mungkin terjadi akibat letusan yang terjadi.
Namun, apakah gunung berapi itu kini benar-benar berdiam diri atau sedang mengumpulkan kekuatan untuk kemungkinan terjadinya letusan atau gegaran susulan selepas daripada ini?
Menurut laporan KOMPAS.com yang menghubungi Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Indonesia, gunung berapi itu sebenarnya masih aktif, namun aktivitinya ketika ini sudah menurun berbanding sebelumnya.
"Pergerakan atau aktiviti erupsi gunung berapi itu masih ada, malah statusnya masih diletakkan di paras ketiga, iaitu dalam keadaan berjaga-jaga.
"Pusat itu juga telah mengeluarkan amaran kepada orang ramai agar tidak mendekati kawasan berhampiran gunung berapi tersebut dalam radius lima kilometer," lapor portal itu, memetik Ketua PVMBG dikenali sebagai Kasbani.
Bagaimanapun, Kompas melaporkan, pemerhatian terhadap keadaan sebenar gunung itu masih tidak tepat sepenuhnya berikutan cuaca buruk yang menyukarkan penelitian secara mendalam dilakukan.
"Untuk masa depan, PVMBG mengingatkan supaya dilakukan persiapan mitigasi, memperkukuh pengamatan seismik dan membangkitkan kesedaran awal mengenai bencana itu," katanya.
Tsunami yang dihasilkan akibat letusan gunung berapi tersebut di Selat Sunda pada 22 Disember lalu mengorbankan 431 orang, sementara lebih 7,200 orang cedera, 15 masih dilaporkan hilang manakala 46,646 orang terpaksa dipindahkan.
Selain itu, lebih 1,778 kediaman rosak, serta 434 perahu dan kapal turut mengalami kerosakan.