Apakah itu di langit? Ini 5 cara terbaik untuk melihat meteor

Saraya Mia
November 29, 2020 15:00 MYT
Apabila memasuki atmosfera Bumi, zarah itu menyejat dan meninggalkan gas ion, itu yang dilihat seperti ekor bintang atau hujan meteor. - Gambar fail
HUJAN meteor merupakan objek angkasa lepas yang bergerak di antara planet yang melintasi atmosfera Bumi.
Apabila dilihat dari permukaan Bumi, hujan meteor adalah seperti bintang berterbangan, tetapi cahaya itu sebenarnya adalah zarah yang sedang bergerak pada kelajuan yang tinggi berbanding Bumi.
Apabila memasuki atmosfera Bumi, zarah itu menyejat dan meninggalkan gas ion, itu yang dilihat seperti ekor bintang atau hujan meteor.
Berikut adalah lima tip untuk melihat hujan meteor dari muka Bumi.
1) Elak cahaya bulan
Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA), hujan meteor boleh dilihat dengan lebih jelas tanpa cahaya bulan kerana kehadiran cahaya itu boleh menyebabkan penglihatan kurang jelas.
Cara terbaik adalah untuk keluar ke kawasan yang jauh dari bandar dan sebarang 'pencemaran cahaya', seperti di hutan atau bukit, selain memilih lokasi di mana langit adalah jelas.
2) Tahu arah pergerakan meteor
Untuk menyaksikan aktiviti meteor terbaik adalah dengan mengetahui arah pergerakan meteor itu.
Nasihat NASA, setiap hujan meteor akan bergerak dari satu arah, dan arah itu adalah menentang kedudukan buruj.
Contohnya, meteor bagi hujan meteor Leonid berpangkalan daripada buruj Leo dan pergerakannya akan menentang arah buruj Leo.
3) Jangan gunakan teleskop dan teropong
Peralatan tersebut hanya akan mengurangkan landskap penglihatan di langit sekali gus mengurangkan peluang untuk melihat hujan meteor, kata NASA.
Sebaliknya, adalah lebih baik untuk melegakan mata dan jangan tertumpu di satu-satu kawasan di langit, tetapi meluaskan pandangan kepada sejauh mana capaian mata boleh melihat.
4) Pilih waktu terbaik
Waktu terbaik untuk melihat hujan meteor adalah sekitar selepas 12 tengah malam dan tanpa kehadiran bulan bagi mengelak cahaya bulan yang terang.
Fenomena hujan meteor lazimnya berlangsung selama berminggu-minggu. Oleh itu, pilih malam yang paling sesuai mengikut musim dan bulan agar menikmati permandangan hujan meteor tanpa gangguan cahaya.
5) Bersedia untuk menunggu
Melihat hujan meteor adalah tidak mudah, dan adakalanya objek angkasa lepas itu tidak muncul walaupun cuaca mengizinkan.
Oleh itu, bersedia untuk menunggu sekurang-kurangnya setengah jam, dan pakai pakaian yang selesa.
ARTIKEL BERKAITAN:
BACA: 40 meteor kelihatan di Port Dickson - Saksi
BACA: Gempar apabila meteor lintas angkasa Michigan
BACA: Hujan meteor dapat dilihat di Malaysia pada 23, 24 Mei 2014

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#NASA #meteor #asteroid #Angkasa Lepas #bulan #Bumi #hujan #cuaca #shm #weekender
;