Apabila air banjir jadi warna merah darah, orang kampung ini sudah tahu apa sebenarnya
Agensi
Februari 8, 2021 08:26 MYT
Februari 8, 2021 08:26 MYT
JAKARTA: Garis masa di media sosial pada dua hari lalu kecoh dengan gambar-gambar air banjir berwarna merah pekat seumpama darah yang terjadi di sebuah kampung di Indonesia.
Suasananya seperti dari sebuah adegan filem seram dan misteri, sekali gus mencetuskan tanda tanya kepada mereka yang bukan dari lokasi kejadian.
Bagaimanapun, dari semua gambar yang dimuat naik itu, rata-rata tidak ada satupun subjek yang dirakam dalam keadaan aneh, panik atau takut, kerana kejadian banjir seperti itu bukan suatu yang baharu di Kampung Jenggot, Pekalongan, Jawa Tengah.
"Saya bimbang jika gambar-gambar ini jatuh ke tangan mereka yang suka menyebarkan berita palsu.
"Mereka akan mereka cerita yang mencetus ketakutan bahawa dunia ini sudah ke penghujungnya, atau hujan darah dan sebagainya," ujar seorang pengguna Twitter.
Sedangkan warna merah itu berpunca dari kilang kilang batik yang juga terjejas akibat kenaikan air bah. Pekalongan merupakan sebuah bandar yang terkenal kerana menghasilkan batik menggunakan cara tradisional - mencanting dan mewarna menggunakan bahan pewarna khas.
Warna air di parit atau sungai yang bertukar-tukar di Pekalongan bukan lagi aneh. Pernah dalam kejadian banjir sebelum ini, air berwarna hijau terang bergenang di segenap kawasan kamoung di sebelah utara bandar itu.
"kadang-kadang ada lopak-lopak air berwarna ungu juga," kata pengguna Twitter bernama Area Julid, yang mendakwa berasal dari kawasan berkenaan.
Ketua Bantuan Bencana Pekalongan, Dimas Arga Yudha, mengesahkan semua gambar yang tersebar di media sosial itu benar terjadi.
"Warna merah itu adalah pewarna batik, yang tumpah semuanya akibat banjir. Ia akan menghilang apabila bercampur dengan hujan beberapa ketika," jelasnya.