Apa mandat Jokowi menjelang kempen akhir Pilpres?

Saharudin Musthafa
April 13, 2019 12:24 MYT
Hampir 300,000 penyokong beliau akan berhimpun di Stadium Bung Karno menjelang pukul 2 petang semasa ketibaan Jokowi. - Astro AWANI/Saharudin Musthafa
Sekalipun calon nombor satu Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dan pendampingnya, Ma’aruf Amin hanya akan muncul sekitar pukul 2 petang, namun Stadium Bung Karno di sini sudah dipenuhi puluhan ribu penyokong mereka.
Semuanya berhimpun di sini untuk mendengar mandat Jokowi pada pusingan terakhir kempen Pemilihan Umum (Pemilu) 2019 yang akan berlangsung pada 17 April ini.
Difahamkan, hampir 300,000 penyokong beliau akan berhimpun di Stadium Bung Karno menjelang pukul 2 petang semasa ketibaan Jokowi.
Pelbagai sepanduk serta poster menandakan sokongan pada Jokowi dan Ma’aruf dibawa oleh penyokong mereka.
Bahkan lagu-lagu semangat kedengaran di Stadium Bung Karno ketika ini.
Pada ketika ini juga, kawalan keselamatan dipertingkatkan oleh pihak berkuasa Indonesia.
Jokowi sekali lagi menjadi calon Pemilihan Presiden (Pilpres) selepas melengkapkan penggal pertama sebagai Presiden di negara yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia.
Untuk penggal kedua, Jokowi bergandingan dengan tokoh ulamak tersohor Indonesia, Ma’aruf Amin.
Pasangan ini akan berhadapan dengan saingan daripada calon nombor dua, Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno.
Minggu lalu, Prabowo dan Sandiaga juga mengadakan kempen Pilpres di lokasi yang sama dengan dihadiri lebih 120,000 penyokong mereka.
#Indonesia Memilih #Joko Widodo #Ma aruf Amin #pemilihan presiden #Pemilihan Umum 2019 #Pilpres 2019 #Presiden Indonesia #Stadium Bung Karno
;