Anwar tiba di Tokyo untuk lawatan kerja tiga hari
Nabilah Khaleeda
Mei 22, 2024 21:49 MYT
Mei 22, 2024 21:49 MYT
TOKYO: Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo pada Rabu sekitar jam 8:54 malam waktu tempatan dengan pesawat khas dari Kuala Lumpur.
Perdana Menteri disambut Menteri Luar Jepun, Yasushi Hosaka dan Duta Jepun ke Malaysia, Katsuhiko Takahashi.
Antara yang mengiringi beliau adalah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Turut hadir, Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abd Ghany.
Lawatan Perdana Menteri kali ini adalah bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia ke-29 (Persidangan Nikkei) dan menjadi pemimpin pertama yang akan menyampaikan ucaptama di persidangan itu pada Khamis.
Ucapan beliau akan berkisar kepada tema ‘Asian Leadership in an Uncertain World’ yang menyentuh isu geopolitik dan Malaysia sebagai pengerusi Asean tahun depan.
Anwar turut dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya Fumio Kishida di pejabatnya bagi membincangkan inisiatif mengukuhkan hubungan Malaysia-Jepun.
Pertemuan itu terutamanya berkaitan teknologi tinggi; peralihan tenaga dan kerjasama alam sekitar; pertahanan dan keselamatan; pembinaan kapasiti dan pendidikan tinggi.
Anwar sebelum ini telah melakukan lawatan kerja selama lima hari ke Jepun pada Disember lepas.