Anwar seru Malaysia, Pakistan perkasa usaha perangi ekstremisme, keganasan

Ifwan Tun Tuah
Oktober 3, 2024 23:47 MYT
Anwar berkata, Malaysia dan Pakistan perlu bekerjasama untuk mempromosikan sumbangan golongan belia serta wanita dalam melakukan pembaharuan serta kemajuan. - Gambar Bernama
ISLAMABAD: Malaysia dan Pakistan perlu memperkasakan usaha untuk menentang ekstremisme radikal dan keganasan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tumpuan perlu diberi untuk memerangi keganasan secara bersama.
“Melalui risikan bersama, perkongsian strategik dan inisiatif memerangi keganasan bersama, kita mesti menggandakan usaha kita untuk memerangi ancaman ini pada akarnya.
“Tugasan di hadapan memerlukan pendekatan bersatu yang melangkaui kerjasama ketenteraan dan perisikan untuk memasukkan pembaharuan pendidikan dan sosial yang menangani punca radikalisme dan ekstremisme,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Syarahan Khas di Universiti Sains dan Teknologi Kebangsaan (NUST) Pakistan pada Khamis.
Anwar terdahulu turut menerima penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) di universiti berkenaan.
Perdana Menteri dalam rangka Lawatan Negara selama tiga hari di Pakistan atas jemputan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif.
Sementara itu, Anwar berkata, Malaysia dan Pakistan perlu bekerjasama untuk mempromosikan sumbangan golongan belia serta wanita dalam melakukan pembaharuan serta kemajuan.
“Kita mesti memupuk daya cipta belia Pakistan untuk memperkasakan mereka bagi mengambil tempat yang sepatutnya sebagai inovator masa depan.
“Peranan wanita Pakistan juga turut memberi inspirasi, yang sumbangannya merangkumi pelbagai sektor seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan seni kreatif, yang membawa perhatian global kepada keberanian dan daya tahan mereka,” katanya.
Anwar berkata, kerjasama antara Malaysia dan Pakistan akan meletakkan kedua-dua negara di barisan hadapan Global Selatan.
“Kita tidak boleh terus membiarkan diri kita ketinggalan akibat seni bina kewangan Bretton Woods atau menderita dalam diam kerana kita menjadi saksi kepada pecahan apa yang dipanggil peraturan antarabangsa (international order) berdasarkan peraturan.
“Marilah kita bersatu untuk merapatkan jurang antara Global Utara dan Selatan dan mencipta masa depan di mana pengetahuan dan peluang dikongsi secara bersama,” katanya.
Anwar dalam pada itu turut menyeru semua pihak supaya mengutuk kekejaman Israel dan mendesak supaya pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin dan Lubnan dihentikan.
“Hari ini, ketika pembunuhan beramai-ramai di Gaza berterusan tanpa hukuman, dengan babak baharu pertumpahan darah dan pembunuhan beramai-ramai berlaku di Lubnan, kita diingatkan sekali lagi tentang kebiadaban, kebejatan dan kekejaman Israel.
“Kita mesti berdiri teguh, menuntut penamatan segera kepada pembunuhan beramai-ramai Israel,” katanya.
#pendidikan #Palestin #Israel #Global Selatan
;