Anwar sertai Sidang Kemuncak G20 hari ini

Harits Asyraf Hasnan
November 18, 2024 23:42 MYT
Anwar hadir atas kapasiti negara jemputan dan disambut oleh Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva selaku tuan rumah. - Gambar Astro AWANI
RIO DE JANEIRO: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Musuem of Modern Art di sini untuk menyertai Sidang Kemuncak G20.
Beliau hadir atas kapasiti negara jemputan dan disambut oleh Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva selaku tuan rumah.
Di bawah kepimpinan Brazil di G20 pada tahun ini, Malaysia menyertai dua inisiatif yang signifikan iaitu Environment and Climate Sustainability Working Group (ECSWG) dan G20 Initiative on Bioeconomy (GIB).
Semasa Sidang Kemuncak G20, Perdana Menteri dijadualkan menyampaikan Kenyataan Negara dalam sesi mengenai Fight Against Hunger and Poverty dan Reform of Global Governance Institutions.
Anwar juga dijangka mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin dari Negara Anggota Kumpulan G20 untuk membincangkan isu dua hala dan pelbagai hala yang berkepentingan bersama.
Anwar tiba di negara terbesar di Amerika Selatan dari Lima, Peru, pada Sabtu untuk lawatan rasmi dan sebagai wakil negara tetamu di Sidang Kemuncak G20.
Malaysia bersama-sama 16 lagi negara termasuk Chile, Qatar, Mesir, Singapura, Sepanyol, UAE dan Vietnam, turut menjadi negara tetamu pada Sidang Kemuncak G20.
G20 terdiri daripada 19 negara dan dua kesatuan iaitu Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Mexico, Rusia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Korea Selatan, Turkiye, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Kesatuan Afrika.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan Malaysia turut diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
#pelaburan #lawatan rasmi #Kesatuan Eropah #isu dua hala
;