Anwar akan bincang isu kos sara hidup dengan PM Thailand
Bernama
Oktober 10, 2023 13:38 MYT
Oktober 10, 2023 13:38 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu berkaitan kos sara hidup yang meningkat di Malaysia dan Thailand adalah antara perkara yang akan dibincangkan pada pertemuannya dengan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin esok.
Perdana Menteri Thailand yang baru dilantik itu dijadual tiba pagi esok untuk lawatan kerja dua hari ke Malaysia.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pertemuan itu juga turut akan membincangkan mengenai langkah-langkah untuk membantu mengurangkan beban yang dihadapi rakyat di kedua-dua negara.
"Kita (kerajaan Malaysia) akan berikhtiar sedaya upaya untuk mengurangkan beban kepada rakyat yang miskin... termasuk golongan M40 yang terkesan dengan senario ekonomi yang ada sekarang, yang juga berlaku di seluruh dunia.
"Begitu juga dengan perbincangan-perbincangan kita dengan pimpinan seluruh dunia, esok atau lusa (mengadakan pertemuan) dengan Perdana Menteri Thailand," kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Anwar menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang antaranya ingin tahu pendekatan kerajaan untuk meningkatkan kuasa beli rakyat susulan penyusutan nilai ringgit selain langkah kerajaan meningkatkan pendapatan rakyat bagi membantu golongan B40 dan M40 berikutan kenaikan harga barang.