Anthony Bourdain tinggalkan aset AS$1.2 juta untuk anak

AP Newsroom
Julai 7, 2018 10:44 MYT
Bourdain dilaporkan telah menulis wasiatnya pada bulan Disember 2016 dan telah menamakan isterinya, Ottavia Busia-Bourdain, sebagai wasi. - Foto Instagram/@ottaviabourdain
SEBULAN selepas berita kematian chef selebriti dan personaliti TV antarabangsa Anthony Bourdain mengejutkan dunia, wasiat mendiang mendedahkan kekayaannya mencecah lebih AS$1.2 juta (RM4.85 juta).
Kebanyakan aset dan harta milik pengacara rancangan 'Parts Unknown' itu pula akan diwarisi anak tunggalnya, Ariane yang berusia 11 tahun.
Ini menurut wasiat Bourdain yang telah dikemukakan di sebuah makhamah di New York.
Dalam wasiat tersebut, kekayaan Bourdain termasuk wang tunai AS$425,000 (RM1.7 juta), hartanah yang dimilikinya bernilai AS$250,000 (RM1.01 juta), royalti bernilai AS$500,000 (RM2.02 juta) dan akaun pembrokeran bernilai AS$35,000 (RM141,000).
Dokumen tersebut turut menyenaraikan gadai janji bernilai AS$1.1 juta (RM4.4 juta).
Chef selebriti berusia 61 tahun itu ditemui mati dalam bilik hotelnya di Kaysersberg, Perancis oleh teman rapatnya, Eric Ripert, pada 8 Jun 2018.
BACA: Chef selebriti antarabangsa Anthony Bourdain meninggal dunia
Siasatan polis mendapati mendiang telah menggantung dirinya dengan tali jubah mandi di bilik mandi hotel berkenaan.
Menurut pendakwaraya Christian de Rocquigny pada 9 Jun, tiada elemen yang membuktikan ada individu lain memasuki biliknya sebelum kejadian.
BACA: Anthony Bourdain gantung diri guna tali jubah mandi
Bourdain dilaporkan telah menulis wasiatnya pada bulan Disember 2016 dan telah menamakan isterinya, Ottavia Busia-Bourdain, sebagai wasi.
Pada masa itu, pasangan tersebut telah mengumumkan mereka tinggal berasingan tetapi masih berkawan baik.
Mahkamah akan melantik seorang bagi menguruskan pembahagian harta dan menjaga kepetingan anak mereka Ariane, kerana dia masih dibawah umur.
#anak #Anthony Bourdain #Ariane #chef #selebriti #wasiat
;