Anjing 'pintar' tular dodoi bayi hingga tertidur

Azyyati Ahmad
Disember 23, 2017 19:21 MYT
Chiko sebelum ini mendapat perhatian kerana asyik menonton Netflix selama berjam-jam selain pandai mengambil air dari peti sejuk serta melukis. -Instagram chiko_shiba_inu
GELAGAT seekor anjing jenis Shiba Inu mendapat perhatian netizen apabila aksinya mendodoikan bayi menjadi tular.
Anjing yang diberi nama Chiko ini suatu masa dahulu pernah tular apabila aksinya yang gemar menonton televisyen menarik perhatian ramai.
Kini, gelagat Chiko menjadi tarikan apabila haiwan peliharaan ini dilihat bijak mendodoikan buaian anak tuannya sehingga bayi itu tertidur.
Chiko terkenal dengan keletah seakan ‘manusia’. Disebabkan itu, gelagat Chiko sering dirakam tuannya Olesia Kuzmychova, seorang warga Ukraine yang menetap di Hong Kong.
Aksi anjing pintar ini kemudian dimuat naik Olesia di akaun Instagram Chiko.
Menurut Olesia, anaknya yang baru berusia lapan hari itu dijaga rapi oleh Chiko.
Chiko juga dilihat tidak boleh berenggang dengan anaknya dan mereka berdua seolah-olah mempunyai ikatan yang istimewa.
Chiko sebelum ini mendapat perhatian kerana asyik menonton Netflix selama berjam-jam. Chiko juga pandai mengambil air dari peti sejuk selain melukis.
Olesia berkata Chiko tidak pernah dilatih menonton tv tetapi mendapat ‘perangai’ itu daripada hobinya yang suka memeluk Chiko sambil menonton cerita kegemaran di tv.
#anjing pintar #Chiko #Olesia Kuzmychova #shiba inu #warga Ukraine
;