Anjing peliharaan mati selang 15 minit selepas tuannya meninggal dunia
Agensi
Ogos 21, 2019 20:23 MYT
Ogos 21, 2019 20:23 MYT
Kesetiaan seekor anjing dengan tuannya sehingga ke hujung nyawa.
Seorang lelaki, Stuart Hutchison meninggal dunia selepas lapan tahun bertarung dengan penyakit kanser otak.
Lebih memilukan, 15 minit selepas Hutchison menghembuskan nafas terakhir, anjing peliharaannya iaitu dari jenis baka French Bulldog bernama Nero menyusul pemergian tuannya.
Pemuda berusia 25 tahun itu meninggal dunia dalam pelukan isterinya, Danielle di Alloa, Scotland, baru-baru ini.
Dalam pada itu, ibu Stuart, Fiona Conaghan berkata, kematian Nero nyata menunjukkan kesetiaan haiwan itu terhadap tuannya.
“Anak saya membela tiga ekor anjing tetapi Nero yang paling disayangi. Nero sentiasa ada bersamanya,” katanya kepada portal Daily Star.
Hutchison didiagnos menderita akibat kanser otak pada tahun 2011. Pasangan itu yang bekerja sebagai penolong farmasi berkenalan enam tahun lalu sebelum bertunang pada 2017.
“Stuart dibawa pulang ke rumah empat minggu lalu kerana dia mahu menghembuskan nafas terakhirnya di rumah sendiri.
“Kami sudah menjangkakan pemergiannya, tetapi ia masih terlalu sukar untuk diterima,” katanya.