Anjing bernama 'Bear' dalam misi penting selamatkan beruang koala
Agensi
November 19, 2019 18:59 MYT
November 19, 2019 18:59 MYT
Kisah seekor anjing pengesan bernama 'Bear' yang gigih membantu dalam misi mencari dan menyelamat beruang koala yang terperangkap di persekitaran hutan Australia dalam kebakaran hutan baru-baru ini mendapat perhatian ramai rakyat negara itu.
Bear adalah kacukan baka anjing penjaga haiwan ternakan dan telah dilatih khusus untuk menjejaki beruang koala dan kuol (quoll), sejenis haiwan marsupial di Australia.
“Ini merupakan tahun pertama Bear terlibat dengan kebakaran hutan dan misi ini jauh lebih berbahaya daripada apa yang biasa Bear lakukan sebelum ini,” kata Romane Cristescu, ahli ekologi di The University of the Sunshine Coast yang juga penjaga Bear kepada agensi berita Reuters.
Untuk tujuan keselamatan, Bear dipakaikan dengan sarung kaki untuk meredah hutan yang dilanda kebakaran yang juga dikatakan merupakan kebakaran terbesar yang pernah berlaku di Australia.
Bear yang menghidap Gangguan Obsesif Kompulsif (OCD) sebelum ini sering terlibat dalam operasi mencari haiwan yang sakit dan cedera untuk dibawa pulang ke pusat pemuliharaan serta bagi tujuan penyelidikan.
Pengalaman itulah yang menjadikan Bear dipilih untuk misi penting itu kali ini.
Jika sebelum ini Bear berjaya menyelamatkan puluhan ekor beruang koala, namun kini tugasnya semakin sukar apabila belum berjaya menemui seekor pun haiwan yang terselamat sejak kebakaran hutan tercetus, awal bulan ini.
Mungkin itu petanda kepupusan haiwan itu dan habitatnya.
Kebakaran hutan yang melanda sekitar 1 juta hektar hutan dan tanah pertanian Timur Australia itu sehingga kini telah mengorbankan empat nyawa serta memusnahkan ratusan rumah.
Api yang merebak sehingga menyebabkan wujud 72 titik panas di New South Wales dan 51 titik panas di Queensland itu juga menyebabkan lebih 350 beruang koala terbunuh. - Agensi
#anjing
#API
#Australia
#bear
#beruang
#cedera
#hutan
#kebakaran
#keselamatan
#Koala
#operasi
#pemanasan global