Anifah hadir pemukiman Menteri Luar ASEAN di Filipina

Bernama
Februari 20, 2017 17:20 MYT
Datuk Seri Anifah Aman mengetuai perwakilan Malaysia untuk menghadiri Pemukiman Menteri Luar ASEAN selama dua hari di Filipina. - Gambar fail
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mengetuai perwakilan Malaysia untuk menghadiri Pemukiman Menteri Luar ASEAN selama dua hari di Filipina mulai hari ini.
Wisma Putra berkata pemukiman 'AMM Retreat' di Boracay itu bertujuan memberi peluang kepada menteri luar ASEAN untuk membincangkan mengenai hubungan luar ASEAN dan membuat susulan terhadap pelaksanaan keputusan yang dibuat ASEAN pada Sidang Kemuncak sebelum ini.
Para Menteri Luar ASEAN akan turut bertukar-tukar fikiran mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama selain mengenai cara untuk meningkatkan hubungan ASEAN dengan rakan dialognya, kata Wisma Putra dalam satu kenyataan.
"Ia merupakan mesyuarat pertama di mana Filipina akan menjelaskan keutamaannya ketika ia menjadi Kepengerusian ASEAN 2017 yang bertemakan 'Perkongsian untuk Perubahan, Melibatkan Dunia' (Partnering for Change, Engaging the World).
"Ini merupakan mesyuarat penting yang akan membentuk strategi ASEAN dalam usaha membangun-komuniti selain membincangkan cara untuk merayakan ulang tahun ke-50 penubuhan ASEAN, katanya.
Wisma Putera berkata AMM Retreat didahului oleh beberapa mesyuarat penting seperti Mesyuarat Jawatankuasa Perwakilan Tetap ke ASEAN dan Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN.
Pemukiman akan melibatkan penyertaan menteri luar dan pegawai kanan negara ASEAN, Setiausaha Agung ASEAN dan wakil tetap daripada Sekretariat ASEAN di Jakarta, katanya.
-- BERNAMA
#AMM Retreat #ASEAN #Datuk Seri Anifah Aman
;