Angkor Kemboja jana pendapatan AS$30.33 juta, lapan bulan pertama 2024

Bernama
September 1, 2024 19:20 MYT
Angkor menarik 651,857 pelancong antarabangsa dalam tempoh Januari-Ogos tahun ini, meningkat 30.7 peratus daripada 498,513 dalam tempoh yang sama tahun lepas. - AP
PHNOM PENH: Taman Arkeologi Angkor yang terkenal di Kemboja memperoleh AS$30.33 juta daripada jualan tiket dalam lapan bulan pertama 2024, meningkat 31.3 peratus daripada AS$23.09 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, menurut laporan rasmi pada Ahad, lapor Xinhua.
Angkor menarik 651,857 pelancong antarabangsa dalam tempoh Januari-Ogos tahun ini, meningkat 30.7 peratus daripada 498,513 dalam tempoh yang sama tahun lepas, memetik laporan Angkor Enterprise milik kerajaan.
Lima pasaran sumber teratas untuk tapak purba itu ialah Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Korea Selatan dan China.
Pada Ogos tahun ini, tapak berkenaan menerima 67,482 pelancong asing, menjana pendapatan AS$3.15 juta, masing-masing meningkat 14 peratus dan 13.7 peratus, berbanding bulan yang sama tahun lepas, menurut laporan itu.
Terletak di barat laut wilayah Siem Reap, Taman Arkeologi Angkor seluas 401km persegi itu menempatkan 91 kuil kuno yang dibina dari abad kesembilan hingga ke-13.
Taman itu yang tercatat dalam Senarai Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 1992, merupakan destinasi pelancongan paling popular di negara Asia Tenggara itu.
Setiausaha Negara dan jurucakap Kementerian Pelancongan Top Sopheak berkata China yang membuat pelaburan dalam pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap Angkor, mula beroperasi secara komersial pada November 2023, membantu menarik lebih ramai pelancong antarabangsa ke taman Angkor.
"Tahun pertukaran rakyat antara Kemboja-China pada 2024 juga membantu menggalakkan lebih ramai pelancong China melawat Kemboja dan Angkor," katanya kepada Xinhua.
-- BERNAMA
#Angkor Wat #Kemboja #pelancongan #pendapatan #sejarah