Angkatan Tentera Sudan dakwa gagalkan percubaan rampasan kuasa RSF

Bernama
April 29, 2023 00:09 MYT
Angkatan Tentera Sudan mendakwa pihaknya telah berjaya menggagalkan percubaan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) untuk merampas kuasa. - BERNAMA
KHARTOUM: Angkatan Tentera Sudan mendakwa pihaknya telah berjaya menggagalkan percubaan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) untuk merampas kuasa, lapor Agensi Anadolu.
"Semua percubaan pemberontak dan ejen mereka dari dalam dan luar negara untuk mempromosi projek mereka dengan menipu orang dan memalsukan fakta telah gagal," kata Angkatan Tentera Sudan dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu Angkatan Tentera Sudan sedang berusaha untuk mewujudkan keadaan yang sesuai supaya agensi negeri dapat meneruskan kerja dan kehidupan dapat kembali normal secepat mungkin.
Setakat ini, RSF belum memberi sebarang komen berhubung kenyataan itu.
Baru-baru ini pertempuran meletus antara angkatan tentera dan RSF di Khartoum dan beberapa bandar berhampiran walaupun gencatan senjata selama tiga hari.
Sekurang-kurangnya 512 orang terbunuh dan lebih 4,000 cedera sejak konflik bermula pada 15 April, menurut Kementerian Kesihatan Sudan.
Sudan tidak mempunyai kerajaan yang berfungsi sejak Oktober 2021 selepas tentera memecat kerajaan peralihan pimpinan Perdana Menteri Abdalla Hamdok dan mengisytiharkan darurat.
Tempoh peralihan Sudan yang bermula pada Ogos 2019, dijadualkan berakhir dengan pilihan raya pada awal 2024.
-- BERNAMA
#Angkatan Tentera Sudan #rampasan kuasa RSF #Rapid Support Forces #konflik Sudan
;