Angkatan Tentera Indonesia, Malaysia lakukan rondaan sempadan bersama

Bernama
Julai 15, 2024 22:15 MYT
Isnaeni menyeru tentera TNI yang ditempatkan di kawasan sempadan untuk terus mengekalkan hubungan baik yang telah terjalin dengan rakan sejawat mereka dari Malaysia yang bertugas di kawasan itu. - Foto BERNAMA
KAPUAS HULU (Kalimantan Barat): Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang menjalankan rondaan bersama yang diselaraskan untuk memeriksa penanda sempadan di sepanjang sempadan Kalimantan Barat-Sarawak, lapor ANTARA.
Ketua Turus "121/Alambhana Wanawai Military Resort Command" TNI Kolonel Mohamad Isnaeni dalam satu kenyataan semalam memaklumkan rondaan bersama itu dapat membantu TNI dan ATM mencegah orang ramai daripada melakukan pelbagai perbuatan yang menyalahi undang-undang.
Beliau memberikan beberapa contoh antaranya penyeludupan dadah, pembalakan haram, perlombongan dan rentas sempadan.
Isnaeni yakin rondaan bersama yang akan berlangsung sehingga 21 Julai ini akan berfungsi sebagai misi untuk membantu institusi ketenteraan kedua-dua negara mewujudkan situasi yang kondusif di sepanjang sempadan darat.
Pegawai tentera itu kemudian menyatakan harapan bahawa misi kerjasama berkenaan akan meningkatkan profesionalisme dalam kalangan tentera dan mengeratkan persahabatan antara kedua-dua negara jiran.
"Interaksi dalam kalangan tentera yang mengambil bahagian dalam rondaan yang diselaraskan ini dijangka dapat mengukuhkan rasa kebersamaan dan persefahaman antara anggota angkatan tentera kedua-dua negara yang membawa kepada hubungan dua hala yang harmoni dan berkekalan," katanya.
Dalam mencapai matlamat ini, Isnaeni menyeru tentera TNI yang ditempatkan di kawasan sempadan untuk terus mengekalkan hubungan baik yang telah terjalin dengan rakan sejawat mereka dari Malaysia yang bertugas di kawasan itu.
-- BERNAMA
#ATM #rondaan bersama #Tentera Nasional Indonesia #sempadan Kalimantan Barat-Sarawak