Angkasawan terakhir mendarat di bulan meninggal dunia
Astro Awani
Januari 17, 2017 11:27 MYT
Januari 17, 2017 11:27 MYT
Eugene Cernan, angkasawan terakhir berpengalaman berjalan di bulan, meninggal dunia pada Isnin, pada usia 82 tahun, menurut agensi angkasa negara Amerika Syarikat.
Cernan, yang juga orang kedua berjalan di angkasa lepas, menghembuskan nafas terakhir dengan dikelilingi ahli keluarganya, kata Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) Amerika dalam satu kenyataan, tanpa memberikan butiran.
Satu kenyataan berasingan daripada keluarganya yang dikeluarkan oleh NASA berkata, kematiannya susulan "beberapa masalah kesihatan berterusan" yang dialaminya.
Cernan dan rakan angkasawan Harrison Schmitt dari Apollo 17 menjadi ahli kelab paling eksklusif di dunia pada 11 Disember 1972 apabila mereka melangkah keluar dari modul pendaratan lunar mereka dan mendarat di permukaan bulan.
Hanya 10 orang lain - kesemuanya angkasawan Amerika - pernah melakukan perkara itu sebelum ini dan tiada yang melakukannya selepas itu.