Angkasawan Rusia dan AS kongsi kapsul Soyuz kembali ke bumi

Bernama
September 24, 2024 15:56 MYT
Kapsul Soyuz MS-25 mendarat berhampiran bandar Jezkazgan di Kazakhstan pada 2.59 petang waktu Moscow (1159GMT). - Gambar/ Reuters
ISTANBUL: Dua angkasawan Rusia kembali ke Bumi selepas menghabiskan 374 hari di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan agensi angkasa negara itu pada Isnin.
Roscosmos menerusi platform Telegram memaklumkan kapsul Soyuz MS-25 yang membawa Oleg Kononenko dan Nikolay Chub mendarat berhampiran bandar Jezkazgan di Kazakhstan pada 2.59 petang waktu Moscow (1159GMT).
Kapsul itu turut membawa angkasawan NASA, Tracy Dyson, yang berada di orbit selama 184 hari.
Menurut Roscosmos, Kononenko dan Chub mencatat rekod paling lama berada di stesen itu.
Dengan kepulangannya, Kononenko turut mencatat rekod baharu berada di angkasa lepas dengan jumlah 1,111 hari sepanjang menyertai lima misi.
Rekod bagi tempoh keberadaan tunggal paling lama di angkasa masih dipegang oleh Valery Polyakov, yang berada di orbit selama 438 hari pada 1994-1995 di stesen angkasa Mir.
-- BERNAMA
#Angkasan Rusia #Angkasawan AS #ISS #misi angkasa
;