Angkasawan NASA mungkin pulang dengan kapsul milik SpaceX
Astro Awani
Ogos 8, 2024 08:20 MYT
Ogos 8, 2024 08:20 MYT
PENTADBIRAN Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) memaklumkan angkasawan yang dihantar ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) oleh Starliner Boeing berkemungkinan akan pulang dengan Crew Dragon milik SpaceX pada Februari 2025.
Pertimbangan tersebut dibuat jika Starliner masih dianggap tidak selamat untuk kembali ke bumi, menurut NASA pada Rabu.
Kapal angkasa Starliner dilancarkan pada Jun lalu membawa dua angkasawan ke ISS dalam misi ujian
penting sebelum NASA boleh memberi pengesahan kepadanya untuk penerbangan rutin.
NASA telah berbincang dengan SpaceX berhubung kemungkinan rancangan untuk meninggalkan dua tempat duduk kosong pada pelancaran Crew Dragon untuk angkasawan Butch Wilmore dan Suni Williams, kru pertama yang menerbangkan kapsul Starliner itu.
Misi angkasawan itu, yang pada awalnya dijangka mengambil masa kira-kira lapan hari di stesen ISS, terpaksa dilanjutkan akibat pelbagai masalah yang ditanggung dan sedang diperhalusi oleh Boeing dan NASA.
Masalah-masalah ini telah menimbulkan persoalan mengenai kemampuan Starliner membawa pulang angkasawan veteran NASA itu dengan selamat.
Seorang jurucakap Boeing berkata, sekiranya NASA membuat keputusan untuk menukar misi Starliner, syarikat itu "akan mengambil tindakan perlu untuk mengkonfigurasi Starliner untuk pulang tanpa kru."
Terdahulu pada Rabu, ketua kru komersial NASA Steve Stich berkata, pihaknya akan mengambil masa yang difikirkan sesuai untuk melakukan ujian, termasuk menilai sama ada kapsul Dragon Crew perlu membawa angkasawan itu pulang atau sebaliknya. - Agensi