Angkasawan misi ke bulan Michael Collins meninggal dunia akibat barah

Astro Awani
April 29, 2021 08:39 MYT
Michael Collins meninggal dunia pada usia 90 tahun akibat barah. -Reuters
ANGKASAWAN NASA Michael Collins yang terlibat dalam misi Apollo 11 ke bulan meninggal dunia pada usia 90 tahun akibat barah.
Keluarga mendiang berkongsi berita itu di akaun Facebook Collins pada Rabu selepas pemergiannya.
"Dengan dukacitanya kami memaklumkan bahawa ayah dan datuk yang kami sayangi meninggal dunia hari ini, setelah bertarung dengan barah.
"Mendiang menghabiskan hari-hari terakhirnya dengan damai, bersama keluarga di sisi.
"Kami sangat merindukannya. Namun kami juga tahu betapa beruntungnya Mike dengan perjalanan hidupnya.
"Kami menghormati keinginannya agar kita meraikan, bukan meratapi, kehidupan itu," tulis kenyataan itu.
Keluarga mendiang Collins juga memohon agar tidak diganggu di dalam saat sukar ini.
Collins, angkasawan NASA selama tujuh tahun, merupakan juruterbang modul komando untuk misi ke bulan bersama Neil Armstrong dan Edwin 'Buzz' Aldrin.
NASA melalui pemangku pentadbirnya Steve Jurczyk turut mengeluarkan kenyataan mengenai pemergian Collins.
"Hari ini negara kehilangan pelopor sejati dan pendokong seumur hidup penjelajahan di dalam diri angkasawan Michael Collins.
"Sebagai juruterbang Apollo 11 - ada yang menggelarnya 'lelaki paling sepi dalam sejarah' - ketika rakan-rakannya berjalan di bulan untuk pertama kalinya, dia membantu negara kita mencapai kejayaan penting.
"Dia juga berbakti dalam Program Gemini dan sebagai juruterbang Tentera Udara.
"NASA meratapi kehilangan juruterbang dan angkasawan yang berjaya ini, seorang teman yang berusaha melakukan yang terbaik.
"Legasinya akan menjadi antara pemimpin yang mengambil langkah pertama Amerika ke kosmos.
"Dan semangatnya akan kekal bersama kita ketika kita menjelajah ke cakerawala yang lebih jauh," kata Jurczyk.
Sumber Facebook NASA
Sementara itu, Aldrin, rakan misinya ke bulan berkongsi kesedihan atas berita kematian Collins.
"Mike yang dihormati, di mana sahaja anda pernah atau akan berada, anda sentiasa mempunyai semangat membara yang membawa kami ke puncak baharu dan juga masa depan.
"Kami pasti rindukan anda. Semoga anda beristirehat dengan tenang. #Apollo11," tulis Aldrin di Facebook.
Sumber Facebook buzzaldrin
Seorang lagi rakan misinya, Armstrong yang juga manusia pertama menjejakkan kaki ke bulan telah meninggal dunia pada 2012 di usia 82 tahun.
Collins dilahirkan di Itali, menjadi juruterbang Tentera Udara, kemudian angkasawan dalam program Gemini.
Mendiang merupakan warga AS ketiga yang melakukan perjalanan angkasa dengan rekod 266 jam, menurut NASA.
#Michael Collins #Angkasawan NASA #misi ke bulan #Apollo 11 #Neil Armstrong #Edwin 'Buzz' Aldrin #Steve Jurczyk #Program Gemini #juruterbang Tentera Udara
;